Isnin, 22 Ogos 2011

Bagaikan permata di celahan kaca




Kerinduan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang rela bekorban.
Kecintaan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh kesungguhan.
Ketaatan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh ketenangan.


Hujan lebat. Pandangan hadapan cermin kereta saya kabur. Saya memperlahankan kenderaan. Lansung tidak nampak apa. Sudah tiga kali saya berulang alik dari rumah ke rumah-rumah pelajar. Sudah dua jam saya berkurung di dalam Proton Saga biru ini. Tubuh saya letih kerana bekerja tanpa henti selama dua hari berturut-turut.. Sepanjang siang sebelumnya pula saya sibuk membeli belah bahan-bahan untuk memasak dan peralatan majlis. Pinggan. Mangkuk. Bekas air. Malam itu pula saya pergi mengajar di Kundang. Kemudian saya lansung tidak tidur kerana mengemas bilik. Saya memindahkan satu katil keluar dari bilik saya supaya tetamu-tetamu perempuan boleh bersolat di bilik saya dengan selesa. Sepanjang siang hari berikutnya saya memasak bersama emak untuk menyediakan juadah berbuka puasa istimewa buat lebih 100 orang tetamu kami. Tetamu kami ialah anak-anak murid saya dan keluarga mereka. Memandangkan kapasiti rumah kami yang sederhana ruangnya, hanya anak-anak yang dijemput. Tetapi setiap anak-anak akan diberikan ‘tapau’ untuk dibawa pulang kepada keluarga tersayang.

Saya berhenti di hadapan sebuah flat. Hujan masih lebat. Seorang pelajar perempuan duduk di sebelah saya di dalam kenderaan memerhatikan titisan hujan yang mengalir di cermin kirinya.

“Ini rumah Aishah. Tingkatan empat,”saya bercerita kepada Fatin.

“Ibu Aishah sakit tulang belakang. Semenjak itu Aishah mengambil alih tugas ibunya. Dialah yang memasak untuk adik-adiknya dan menjaga mereka.”saya menyambung cerita.

“Cikgu kenal Aishah sebab cikgu mengajar di masjid secara percuma setiap hari Rabu. Banyak yang cikgu belajar daripada Aishah. Cikgu sayangkan dia kerana mengkagumi kasih sayang dia kepada keluarganya. Adakalanya ketika pelajar lain berbicara tentang kerja sekolah, boyfriend atau masalah-masalah remaja yang lain, Aishah pula bermonolog sendiri ‘Hari ni nak masak apa, balik ni nak tengok apa yang ada.’” Saya menghentikan kata-kata sebaik ternampak kalibat adik-adik Aishah yang begitu ceria melambai saya.

“Pernah satu kali Aishah balik lewat dari sekolah dan tidak sempat memasak lalu dia sms saya meminta tolong belikan nasi bungkus dan ayam goreng. Kebetulan ketika itu saya pula ada mesyuarat di tempat yang jauh. Saya tidak sampai hati nak menolak pesanan Aishah. Jadi say segera balik dan belikan makanan itu. Keesokkannya apabila saya bertemu Aishah barulah saya dapat tahu bahawa makanan itu dibelikan untuk ibunya sedangkan dirinya lansung tidak makan apa-apa pada tengah hari itu.”
Adik-adik Aishah masuk ke dalam kereta saya. Terkial-kial mereka menutup payung yang tersangkut menyebabkan kereta saya basah kerana terlalu lama pintu terbuka.

“Nabil puasa ke ni?”saya mengusik adik kecil

“Puasa!!”Jawab Nabil tegas.

“Ada ponteng-ponteng?”usik saya lagi.

“Tak ada. Penuh semuanya!” Suara Nabil penuh semangat.
Shahrin, abang kepada Nabil ketawa perlahan. Kereta sudah penuh. Aishah dan seorang lagi sahabatnya yang sepatutnya menumpang kereta saya memerhatikan sahaja kami dari jauh. Saya mendail telefon Aishah.

“Nanti cikgu datang semula ya, hehe”. Saya mengakhiri perbualan dengan ketawa kecil. Setiap kali saya menelefon anak-anak murid saya atau sahabat rapat, saya sudah terbiasa akan ketawa kecil di permulaan dan akhir perbualan. Barangkali hati ini terlalu bahagia apabila berbicara bersama mereka yang mendapat tempat di hati saya.

Saya menghantar Nabil, Shahrin dan Fatin ke rumah. Kemudian saya berpatah balik meredah hujan menuju ke flat tadi. Perjalanan mengambil masa 20 minit. Sebaik tiba di rumah saya pada kali kelima, jam suduh pukul 7 lebih. Sudah hampir waktu berbuka!

Hujan yang lebat. Saya tidak sangka masih ramai tetamu yang tetap bersungguh mahu hadir. Ruangan dalam rumah penuh. Ruangan luar rumah pula sedikit berterabur kerana tempias hujan lebat. Syukur Alhamdulillah, Romlah iaitu sahabat susah senang dan adik saya, Ali yang rajin ada di rumah untuk membantu. Kak Amy, pembantu rumah kami juga datang awal dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Mereka semua benar-benar menguatkan diri saya yang semakin lemah ini.

Alhamdulillah.. Majlis berjalan lancar. Saya menghantar beberapa ‘trip’ pelajar-pelajar pulang ke rumah. Saya turut menghantar Aishah ke rumahnya. Adik-adiknya kelihatan sangat gembira. Mereka begitu teruja dengan ‘tapau’ yang diberikan. Mungkin kecil bagi kita tetapi besar ertinya bagi mereka. Wajah-wajah ceria si kecil ini benar-benar membuatkan naluri saya tersentuh. Sepanjang perjalanan riuh rendah di dalam kereta. Semasa kami sudah hampir samapai ke flat mereka, Aishah bertanya “Cikgu, kenapa cikgu buat jamuan ni?”

Saya ketawa kecil. Bagaimana mahu menjawabnya?

“Ada banyak sebab…”

“Pertama ialah sebab bulan ni pahala berganda-ganda. Cikgu nak pahala berganda-ganda.” Jelas. Jujur.

“Kedua ialah sebab cikgu nak jumpa semua anak-anak murid cikgu, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jadi cikgu pilih tarikh dalam bulan Ramadhan ni sebab bulan ni paling mulia.” Jelas.

“Ketiga… erm…” Berfikir.

“Sebab.. bulan ni anak-anak murid saya semua baik-baik. Sebab syaitan dah kena ikat. Jadi semua anak-anak murid saya baik-baik.”

Aishah ketawa.

“Ye ke?” Aishah meragui jawapan ketiga saya. Saya menyambutnya dengan ketawa.

Selepas menghantar Aishah dan adik beradiknya pulang, saya pergi sekali lagi menghantar ‘trip’ terakhir pulang ke rumah. Rumah terakhir ialah rumah Hidayah. Hidayah ini di pandangan saya merupakan anak yang sangat baik hati. Selalu dibuli. Selalu disakiti tetapi sangat sukar menyakiti. Selalunya memaafkan sahaja sesiapa pun tanpa dendam. Beliau sangat naïf dan bersih. Selalu juga membuat saya menangis kerana terlalu banyak yang saya belajar dari anak ini yang bernama Hidayah Solehah.

“Dah tapau?” soal saya walaupun sudah nampak Hidayah meriba sebungkus plastik yang sangat besar.

Sungguh besar. Cukup makan satu keluarga!

“Dah! Banyak ni cikgu…”Hidayah tersenyum-senyum.

“Tadi saya hampir tak dapat tapau.” Hidayah cuba membuka cerita.

“Eh kenapa pula, bukankah cikgu dah pesan ambil awal-awal.” Saya teringat semula bahawa saya menugaskan Hidayah membungkus tapau-tapau untuk semua pelajar.

“Saya bungkus-bungkus. Orang lain datang ambil-ambil. Saya tengok mereka semua lebih memerlukan. Jadi saya pun diam-diam sahaja..”sambung Hidayah. Budak ini memang selalu begini! Sering sahaja beralah dalam semua situasi. Hatinya terlalu lembut.

“Kemudian… ”Hidayah menyambung.

“Emak cikgu panggil. Emak cikgu tanya saya dah ambil ke belum. Lepas tu emak cikgu bagi semua ni!” Hidayah menghabiskan ceritanya dengan gembira. Saya membalas dengan senyuman. Saya tahu emak seorang yang sangat cekap matanya. Pasti emak sudah lama perasan tentang Hidayah yang tidak bertapau kerana sibuk menapau untuk sahabat-sahabat lain.

Jam 12 malam/pagi. Saya duduk di sofa yang masih belum disusun ke tempat asal bersama emak. Kami melihat gambar-gambar yang telah diambil sambil bersembang. Post mortem program. Emak memberitahu bahawa emak sangat gembira sebab majlis itu terasa keberkatannya. Emak sempat menghantar tapau untuk beberapa orang sahabatnya dan jiran sebelah rumah kami. Semoga Allah melimpahkan hidayah-Nya kepada kami semua… Alhamdulillah, ramai memuji makanan yang dijamu itu sedap. Tetapi mereka tidak tahu bahawa sepanjang memasak itu, kami berdua (emak dan saya) berzikir dan berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada yang menjamah makanan ini. Subhanallah Alhamdulillah. Lailahaillallah Allahuakbar!

Catatan ini saya titipkan buat pembaca yang dikasihi Allah. Semoga perkongsian ini dapat membuka mata hati kita untuk melihat ke dalam diri insan di sekeliling kita. Tiada manusia yang sempurna. Namun di sebalik ketidak sempurnaan itulah hadirnya insan lain yang melengkapi kelompongan yang ada. Ada orang yang malu dilahirkan miskin dan cacat. Namun ada orang yang kaya dan sihat yang meminjam semangat si miskin dan cacat untuk meneruskan hidup. Bukankah Allah menciptakan semua itu ada tujuan tersurat dan tersirat?

"Ya Rabbana, tidaklah Engkau Menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka" [Ali-Imran :191]

5 ulasan:

  1. :)

    Speechless bila baca cerita lillah...

    kagum dengan aisyah. Kuat semangat! Kirim salam pada dia ye! :)

    pada hidayah :)

    macam perangai saya hik2.. ^_^ Takpa..jgn sampai org pijak kepala sudalah ye!

    BalasPadam
  2. rasa macam nk terbang sana jumpa adik2 ni hehe...insyaALlah...cuba mencontohi sesuatu yang baik...aminn :)

    BalasPadam
  3. suke dgn ceirta aisyah 2..cz sy merasa pe yg aishah rase =(

    BalasPadam
  4. puteri : meh la cni.... :)

    pohon hijau : oh, anda istimewa.. :)

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....