Sabtu, 19 Februari 2011

Pencarian Sudah Selesai...


Syukur pada-Nya kerana memberi saya nikmat yang banyak. Saya nak berkongsi pengalaman semasa di kelas percuma di masjid semalam. Seperti kebiasaan, sebelum kelas bermula [dalam perjalanan (dalam kereta saya), anak-anak murid saya mula memberi pelbagai soalan agama kepada saya.)]

Semalam seronok betul.. Saya dan murid-murid duduk dalam bulatan dan kami semua cuba berbual dalam Bahasa Inggeris. Kebetulan kerusi yang saya duduk itu kerusi baru pejabat yang sangat selesa. Saya asyik berpusing-pusing di atas kerusi sambil berbual dengan mereka. Walaupun ada pelajar yang merangkak-rangkak menyebut perkataan-perkataan, saya meraikannya. Akhirnya saya lihat mereka sesama mereka sudah mula memainkan peranan saya. Apabila ada rakan tersilap, mereka lebih dahulu membetulkan rakan mereka sebelum saya menegur. Kami berbual tentang resipi masakan- Kari Ayam, tentang artis - Amy Search, tentang gosip di sekolah- &^&% dan pelbagai lagi. Murid masih terus menerus bertambah. Ada pelajar yang menangis merayu meminta bapanya kebenaran untuk datang ke kelas ini. Pelajar itu datang lewat sedikit dengan mata yang bengkak. Namun dia kelihatan sangat gembira sepanjang kelas. Ada pelajar yang terlalu gembira sehingga menari di dalam kelas. Mujurlah kami semua perempuan sahaja.

Sebelum saya balik, seorang pelajar memberi saya buku-bukunya. 
"Cikgu, saya ada buku. Tapi saya tak tahu nak guna. Cikgu ambillah.."katanya. Buku itu sudah lusuh. Saya tersenyum. Saya memang suka buku dan saya tahu menilai dan menghargai buku.
"Ok, terima kasih."

Terima kasih padaMu Allah... Sungguh tak terbayar kepuasan dan kegembiraan ini.

Malam semalam saya pergi satu seminar MLM. Saya dapat tiket percuma, tak rugi kalau saya cuba dengar dan ambil ilmu di sana kan?. Penceramah tu bertanya  kepada kami pelbagai soalan. Adakah anda gembira dengan pekerjaan anda? Adakah anda rasa cukup dengan apa yang anda ada? Adakah anda ada masa untuk keluarga anda? Adakah anda ada sahabat yang sejati ? Adakah anda ada sesuatu untuk diwariskan kepada anak-anak anda? Adakah anda ada perancangan masa depan?. Adakah pengorbanan anda berbaloi?..

*Penceramah mengharapkan jawapan pendengar 'tidak'.

 Walau berapa banyak soalan dia, saya menjawab di dalam hati.. "Ya... ada. Semua itu saya sudah ada."

Orang ramai bersorak. Kemudian ditayangkan video kapal mewah, kolam renang, rumah mewah dan semua yang mewah-mewah. 

Hm.... Hati saya lansung tidak tertarik. Saya cuma mahukan rezeki yang halal dan berkat. Saya lansung tidak berniat hendak mengumpul harta yang akan habis setelah saya mati. Saya mahu mengumpul harta yang boleh terus bertambah setelah saya mati. Saya tidak mahu merangkak di atas titian Sirat. Saya mahu berlari sepantas kilat. Saya tidak mahu suami saya mencintai saya kerana harta saya. Saya mahu suami saya mencintai saya kerana iman saya. Saya tidak mahu anak-anak saya hidup senang lenang tetapi lupa mendoakan saya. 

Saya duduk diam mendengar ceramah sampai habis. Malam ini ada lagi sambungan seminar itu. Tak mengapa, saya datang untuk belajar. Banyak yang saya belajar daripada program ini. Sambil mereka promosi saya saham dunia, saya promosi pula saham akhirat... Bukan mereka sahaja ahli perniagaan, saya juga ahli perniagaan. Jika mereka mahu saya dengar mereka bercakap, mereka juga perlu dengar saya bercakap.

Sepanjang saya diam, saya berzikir di dalam hati... Damai. :)

Nabi s.a.w bersabda :
"Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain."
(al-Bukhari) 

Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya.

Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta?

Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

1 ulasan:

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....