Isnin, 14 Februari 2011

Belajar untuk mengerti...


Ya Allah saya takut… Ku pohon perlindungan daripadaMu..

Beberapa malam tidur saya terganggu, setiap hari saya menangis. Saya takut. Argh, saya tidak professional. Saya perlu mengawal emosi saya dan bertenang!
Minggu lepas, seorang pelajar saya memberitahu saya dia dicabul. Dia sendiri tidak tahu perbuatan bapanya itu salah cuma dia berasa aneh dengan perbuatan tersebut. Saya memberitahu dia cara-cara menjaga keselamatan diri.

“Pastikan semasa hendak tidur, pintu berkunci. Jangan pakai baju ketat atau bertuala di depan dia. Jaga tali bra. Maksud cikgu, jangan sampai tali bra kelihatan sebab lelaki boleh ghairah hanya dengan nampak tali bra. Kalau perlu pakai baju kurung di malam hari, pakailah. Jauhkan diri dari dia. Jangan bersendirian..”
Saya cuma mampu memesan. Tetapi dia mengakui yang dia tidak mampu melarikan diri setiap kali bapanya ‘meminta’!

Perlukah saya terus laporkan perkara ini kepada polis? Apa pula selepas itu? Maruah keluarganya?

“Sekali lagi jika dia buat macam tu, bagi tau cikgu. Kita kena cakap pada emak. Cikgu tak nak jika anak dah mengandung baru emak tahu. ” saya menerangkan. Anak ini ketakutan, sebolehnya dia tidak mahu sesiapa tahu. Kawan-kawannya semua tidak tahu.

“Nanti cikgu beri kamu telefon bimbit,”saya bersuara. Dalam hati saya berbisik sendirian. Mana nak cari duit? Duit dalam bank saya sudah tinggal RM50.

“Minggu depan cikgu beri, minggu ini sabar dulu ya…”pujuk saya. Dia diam. Seolah tidak setuju.

“Ok taka pa, saya tunggu..”kata dia sambil tersenyum.
Bengong! Macam mana seorang ayah sanggup menggomol anak yang tidak tumpah wajahnya sendiri!
Saya masih ingat lagi ayah haruan itu memarahi saya. Dia memberi amaran supaya jangan bagi pelajar lelaki masuk kelas yang dihadiri anaknya. Sangkaan saya, dia ayah yang sangat bertanggung jawab. Rupa-rupanya dia sekadar cuba menutup bangkai!

Setiap bulan saya memperuntukkan ¾ pendapatan saya untuk mereka. ¼ lagi pula untuk belanja dapur. Saya tidak rasa seperti seorang guru. Saya sudah rasa seperti seorang ibu tunggal yang menyara anak yang ramai. Anak-anak ini pula datang dengan pelbagai masalah masing-masing. Jika diikutkan kemampuan, saya memang tidak mampu membuat ini semua. Tetapi Allah Maha Penyayang, Dia sentiasa membantu saya.

Syukur saya tidak pernah lagi berhutang walaupun pada saat-saat kritikal. Ada sahaja jalan keluarnya. Jika pada mula-mula bekerja, saya pernah berhasrat bekerja untuk mengumpul aset. Kini saya kurang pasti bila baru aset saya dapat terkumpul. Setiap bulan seolah-olah ada sahaja perkara yang memerlukan duit. Saya memandang kereta Proton Saga yang abah belikan untuk saya semasa saya masih belajar lagi. Kini, saya membayar bulanannya.. Saya pernah terfikir untuk menjualnya supaya ringan sedikit beban ekonomi ini. Namun apabila mengenangkan kereta inilah yang saya gunakan untuk menghantar dan mengambil anak-anak tersebut, saya sabarkan dahulu. Tidak mengapa Ya Allah, mungkin memang takdirku tidak mengizinkan aku mengumpul dunia.. Semoga aset akhiratku ini diterima oleh-Mu Ya Rabb…

“Jika abah tahu, dia mungkin tak setuju cara kakak berbelanja. Bagi abah, jika ada lebihan barulah disedekahkan.”kata emak. Hati saya agak sedih dan takut ketika itu. Takut abah memarahi saya dan mungkin saya tidak mampu membantu mereka. Takut juga jika masa depan saya gelap gelita. Pelbagai perkara perlu difikirkan. Rasanya saya sudah banyak membuat emak abah bimbang disebabkan niat saya yang ingin membantu orang.

Namun saya lebih takut apabila membayangkan apalah nasib anak-anak murid saya yang tidak bersolat. Saya pernah menceritakan tentang seksaan Allah terhadap orang yang meninggalkan solat. Ada seorang yang tiba-tiba menyampuk :

“Tipulah. Takkan macam tu.”

Saya tersentak. Semenjak itu saya sedar, kerja saya masih banyak… dan saya sangat takut saya lalai dalam melaksanakan amanah ini.

Tiada lagi kata-kata motivasi yang lebih kuat untuk mengembalikan semangat saya selain ini :
Hanya kerana ini adalah perintah Allah maka saya lakukan. Hanya kerana ini adalah sunnah Rasulullah maka saya sanggupkan…
Ya Allah… Ya Allah….. Ya Allah…….

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,
 “Harta tidak akan berkurang gara-gara sedekah. Tidaklah seorang hamba memberikan maaf terhadap kesalahan orang lain melainkan Allah pasti akan menambahkan kemuliaan pada dirinya. 
Dan tidaklah seorang pun yang bersikap rendah hati (tawadhu’) karena Allah (ikhlas) melainkan pasti akan diangkat darjatnya oleh Allah.” 
(HR. Muslim, lihat Syarh Muslim [8/194])

2 ulasan:

  1. Ya Allah...

    Semoga Allah permudahkan urusanmu kak...

    terima kasih kerana sudi berkongsi...


    saya sayang kakak...

    BalasPadam
  2. Amin Ya Mujib...

    Terima kasih dik....

    Kakak pun sayang kamu juga...

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....