Ahad, 3 April 2022

Apabila cinta sudah pudar, ke manakah arah tuju sebuah perkahwinan?


Alangkan pantai berubah, inikan pula manusia.
 Fizikal boleh berubah. 
Dulu kurus sekarang berisi.
Perangai boleh berubah.
Dulu rajin sekarang pemalas.
Apatah lagi hati manusia.

Namun tak mudah untuk terus melangkah kepada sebuah penceraian kerana masing-masing punya tanggungjawab untuk dijaga sebaik mungkin. Anak-anak menjadi faktor utama pasangan suami isteri memilih untuk kekal dalam sesebuah perkahwinan meskipun perkahwinan itu sangat hambar, penuh duri dan air mata.

Selagi tidak melibatkan penderaan fizikal, rata-rata mahu bertahan. 
Si suami masih terus melaksanakan tanggungjawabnya setiap hari, menguruskan kebajikan keluarga. Si isteri juga masih terus melaksanakan tanggungjawabnya sama seperti suami walaupun hatinya telah lama kering rasa cinta kepada suaminya.
Mereka umpama kenalan, berkenalan dalam rumah. Saling mengenali sekadar melaksanakan tanggungjawab harian memastikan anak-anak membesar dengan baik.

Tidak membenci. 
Tetapi tiada cinta. 
Ada pun ok. Tiada pun ok.

Ada juga pasangan yang satu pihak ok, manakala satu pihak lagi menderita. Lemas dalam keterpaksaan melayan pasangan tanpa ada perasaan. Hati sudah tawar lantaran keperluan diri yang diabaikan. Misalnya isteri dibiarkan mencari nafkah siang dan malam serta menguruskan keperluan anak-anak sedangkan pasangannya cuma sibuk bermain game siang dan malam. 

Apabila ada konflik yang timbul, ia perlu diselesaikan.
Membiarkan ia berlarutan hanya akan merumitkan masa depan.
Mana mungkin anak-anak dapat membesar dengan baik dalam suasana rumah tangga yang sentiasa tegang.

Adakalanya penyelesaian berpisah merupakan cara yang terbaik untuk jangka masa pendek.
Namun bagaimana pula kesannya untuk jangka masa panjang?

Untuk mengubah keadaan, kita perlu berubah.

Tiada kebahagiaan tanpa kemanisan iman.
Kemanisan iman hanya akan dikecapi dengan 3 syarat.

Sabda Nabi SAW,
"Tiga perkara, siapa yang tiga perkara ini yang ada pada dirinya, niscaya dia merasakan manis Iman, iaitu :
hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai dari pada selainnya ;
dia mencintai seseorang, tidak mencintainya melainkan kerana Allah
dan
dia benci kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya dari kekufuran itu, sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke neraka."
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarat pertama dan kedua..
Semak hati kita, apakah kita cinta dan benci kerana Allah?
Longgarnya pertalian cinta kita dengan Allah, maka musnahlah segala hubungan antara kita dengan makhluk-makhluk Allah.
Maka cara untuk perbaiki semula rasa cinta kita sesama makhluk adalah dengan memperbaiki hubungan kita dengan Allah.

Syarat mencapai kemanisan iman yang ketiga adalah benci melakukan dosa lama seperti mana benci dicampakkan ke dalam neraka.

Apabila iman lemah, mudah sahaja kita terjerumus melakukan dosa. 
Apabila dosa menyelubungi diri, maka diri akan mula menjadi gelisah serba tidak kena.

Andai penderaan mental dan fizikal itu terjadi, kembali ingat bahawa cinta itu hanya kerana Allah maka berangkatlah meninggalkan perkahwinan yang menyeksakan itu. Tidak ada ruang cinta dalam kezaliman. Kita bukan hamba manusia, kita adalah hamba Allah. Mencintai hanya kerana Allah bermakna cinta itu hadir pada mereka yang mengamalkan ketaatan kepada Allah. Apabila penderaan berlaku bermakna kezaliman telah berlaku dan ianya dibenci Allah.

Salam  1 Ramadhan 
Semoga diberikan kebahagiaan dalam rumahtangga kalian



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....