Sabtu, 7 Februari 2015

Terima kasih....

 

9 bulan berkahwin (17 Ogos 2013 bernikah), tempoh singkat untuk kami belajar menjadi suami isteri. Hingga ke hari ini kami masih dalam tempoh berkenalan, masih banyak perkara hendak diborakkan, masih banyak perkara tentang diri masing-masing yang tidak diketahui. Kadang mudah untuk kita saling meluahkan suka dan tidak suka supaya diketahui pasangan. Kadang terpaksa telan sahaja walaupun hati tidaksuka. Sama sahaja baik suami mahupun isteri, begitulah adat berkongsi hidup perlukan tolak ansur. Apabila ditanyakan orang-orang tua tentang rahsia rumahtangga kekal lama, pastinya jawapan mereka kepada isteri ialah 'banyakkan sabar dan beralah' manakala kepada suami pula ialah 'jangan terburu-buru, sabar dan fikir panjang'.

1 minggu menjadi ibu bapa (18 Mei 2014 melahirkan Muhammad Nabihan Fayyadh), menjadikan malam dan siang kami menjadi begitu panjang. Fayyadh pula mengalami sakit kuning jadi kami perlu kerap menyusukan dan menyalin lampin Fayyadh. Pernah selang setengah jam kami akan menyusukan Fayyadh. Minggu pertama melahirkan, tubuh saya masih lemah. Mahu duduk pun sakit, berjalan sakit dan apabila baring mahu berpusing pun sakit. Maka suamilah yang perlu jadi orang kuat membantu menguruskan anak. Pada waktu siang, alhamdulillah ada emak membantu. Pada waktu malam, suami perlu on call menguruskan anak.

Ketika Fayyadh perlu berulang alik ke pusat kesihatan dan hospital, suami terpaksa berulang alik. Kerja yang sedia ada sudah sibuk menjadi bertambah sibuk hingga akhirnya suami demam. Dalam demam terpaksa teruskan juga menjadi orang kuat menguruskan keluarga dan bekerja.

Saya letih dan kadang saya tertekan dan meluahkan melalui bahasa dan air mata. Suami pula tidak pernah mengadu letih atau tertekan namun apabila dirinya sudah mula sakit-sakit, batuk, selesema dan demam, maka saya tahu suami juga dalam keadaan yang sama.

Apabila duduk berfikir, saya yakin Allah tahu kami mampu hadapi ujian ini bersama. Bukankah anak yang terbaik ialah anak yang dapat mendekatkan ibu bapanya kepada Allah. Maka syukur Alhamdulillah kerana kehadiran Fayyadh selalu buat mama dan papa banyak berdoa kepada Allah. Alhamdulillah...

Berterima kasihlah apabila kita kesempitan harta, masa dan tenaga, lalu dikuatkan hati untuk berdoa merintih kepada Allah. Bukan semua orang diberikan kekuatan untuk merintih kepada Allah. Betapa ramai manusia yang apabila susah cuma mengeluh dan mengadu kepada manusia hingga manusia keliling jadi jemu dan muak serta menyampah kepadanya.
Syukur Ya Allah!

Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dan redha kepada-Mu dalam semua keadaan.. Redhailah kami Ya Allah...

# Bangun syif malam menyusukan anak dan perah susu anak. Kasi peluang suami tidur.
 — with Mohd Rizuwan Borhan.

Coretan lama fb May 29, 2014 · 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....