Sabtu, 7 Februari 2015

Terima kasih....

 

9 bulan berkahwin (17 Ogos 2013 bernikah), tempoh singkat untuk kami belajar menjadi suami isteri. Hingga ke hari ini kami masih dalam tempoh berkenalan, masih banyak perkara hendak diborakkan, masih banyak perkara tentang diri masing-masing yang tidak diketahui. Kadang mudah untuk kita saling meluahkan suka dan tidak suka supaya diketahui pasangan. Kadang terpaksa telan sahaja walaupun hati tidaksuka. Sama sahaja baik suami mahupun isteri, begitulah adat berkongsi hidup perlukan tolak ansur. Apabila ditanyakan orang-orang tua tentang rahsia rumahtangga kekal lama, pastinya jawapan mereka kepada isteri ialah 'banyakkan sabar dan beralah' manakala kepada suami pula ialah 'jangan terburu-buru, sabar dan fikir panjang'.

1 minggu menjadi ibu bapa (18 Mei 2014 melahirkan Muhammad Nabihan Fayyadh), menjadikan malam dan siang kami menjadi begitu panjang. Fayyadh pula mengalami sakit kuning jadi kami perlu kerap menyusukan dan menyalin lampin Fayyadh. Pernah selang setengah jam kami akan menyusukan Fayyadh. Minggu pertama melahirkan, tubuh saya masih lemah. Mahu duduk pun sakit, berjalan sakit dan apabila baring mahu berpusing pun sakit. Maka suamilah yang perlu jadi orang kuat membantu menguruskan anak. Pada waktu siang, alhamdulillah ada emak membantu. Pada waktu malam, suami perlu on call menguruskan anak.

Ketika Fayyadh perlu berulang alik ke pusat kesihatan dan hospital, suami terpaksa berulang alik. Kerja yang sedia ada sudah sibuk menjadi bertambah sibuk hingga akhirnya suami demam. Dalam demam terpaksa teruskan juga menjadi orang kuat menguruskan keluarga dan bekerja.

Saya letih dan kadang saya tertekan dan meluahkan melalui bahasa dan air mata. Suami pula tidak pernah mengadu letih atau tertekan namun apabila dirinya sudah mula sakit-sakit, batuk, selesema dan demam, maka saya tahu suami juga dalam keadaan yang sama.

Apabila duduk berfikir, saya yakin Allah tahu kami mampu hadapi ujian ini bersama. Bukankah anak yang terbaik ialah anak yang dapat mendekatkan ibu bapanya kepada Allah. Maka syukur Alhamdulillah kerana kehadiran Fayyadh selalu buat mama dan papa banyak berdoa kepada Allah. Alhamdulillah...

Berterima kasihlah apabila kita kesempitan harta, masa dan tenaga, lalu dikuatkan hati untuk berdoa merintih kepada Allah. Bukan semua orang diberikan kekuatan untuk merintih kepada Allah. Betapa ramai manusia yang apabila susah cuma mengeluh dan mengadu kepada manusia hingga manusia keliling jadi jemu dan muak serta menyampah kepadanya.
Syukur Ya Allah!

Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dan redha kepada-Mu dalam semua keadaan.. Redhailah kami Ya Allah...

# Bangun syif malam menyusukan anak dan perah susu anak. Kasi peluang suami tidur.
 — with Mohd Rizuwan Borhan.

Coretan lama fb May 29, 2014 · 
 

Khamis, 5 Februari 2015

Redha seorang isteri

Alhamdulillah sudah masuk minggu ke tiga menjadi pengedar mee An'Nur. Ianya pengalaman baru yang amat beharga. Sebelum ini saya cuma menjadi guru tuisyen. Lebih 12 tahun saya mengajar budak-budak, kali ini demi nak menyokong usaha suami dan memberikan yang terbaik kepada anak, maka saya buat keputusan berhenti kerja.

Sekian lama biasa pegang duit sendiri, seronok membeli belah, seronok bersedekah dan lain-lain.. Apabila menjadi suri rumah, maka perlulah ubah tabiat suka hati dengan duit. 

Apabila diri rasa berkeinginan kepada sesuatu, saya akan solat dan berdoa.

Apabila diri rasa terfikir kepada sesuatu yang tidak baik, maklumlah syaitan suka bisikkan macam-macam yang negatif supaya kita bersedih, saya lawan dengan baca quran dan barakah makkiyah.

Banyak permintaan bekas-bekas pelajar supaya saya meneruskan kelas, kadang-kadang hati terigin nak kembali mengajar, sampai termimpi-mimpi banyak kali saya pergi mengajar. Bukan suami yang halang saya mengajar, tapi saya sendiri yang rasa belum sanggup dan belum bersedia. 

Dulu sebelum berhenti kerja, saya fikir banyak kali untuk berhenti. Saya tidak risau sangat tentang apa pandangan orang luar tentang keluarga saya sebab sebelum ini saya memang tidak peduli pun apa pandangan orang luar. Selagi keluarga saya masih berlandaskan yangAllah redha, cukuplah. Saya paling takut kalau saya jadi isteri derhaka apabila keinginan saya tidak mampu dipenuhi oleh suami. Bolehkah saya berakhlak mulia kepada suami tatkala suami tidak mampu memberikan saya sesuatu yang mungkin saya sangat hajatkan? 

Senarai hajat saya panjang... Hehe.. 

1. Nak bersalin di hospital yang disambut oleh doktor pakar perempuan dan suasana selesa.
2. Nak pergi mengelilingi dunia dengan suami
3. Nak dapur besar dan cantik
4. Nak penghawa dingin satu rumah
5. Nak tembok besar mengelilingi rumah supaya tidak perlu bertudung keluar rumah
6. Nak ada taman luas dan cantik di laman rumah
7. Nak ada kebun sendiri tapi bukan saya tukang kebun
8. bla bla bla...

Tapi apabila pandang wajah suami yang comel lagi baik hati...Yang sanggup buat kerja tambahan jual kotak, plastik dan besi untuk ekonomi. Kerja utama suami ialah jadi pengedar mee An'Nur iaitu mengedarkan mee tanpa asid borik,wax dan MSG ini ke seluruh dunia (sekarang baru dalam Malaysia.. Moga-moga dapat sampai ke seluruh dunia)

Like sini -----> Mee Wantan An'Nur

"Tak apalah kanda. Kanda diizinkan Allah keluar 40 hari, keluar 3 hari dan dapat khidmat di masjid. Itu tandanya rezeki yang berkat."

"Tak apalah kanda, nanti di syurga baru kita tinggal di rumah cantik.. Moga dapat masuk syurga tinggi sekali. 

"Sesungguhnya di Syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan untuk orang yang berjihad di jalan Allah. Antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Maka jika kamu meminta kepada Allah, mintalah al-Firdaus al-A'la. Sesungguhnya ia berada di tengah-tengah Syurga dan tempat yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Allah. Daripadanya mengalir sungai-sungai Syurga. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W bersabda “Adapun 3 orang yang pertama kali masuk surga adalah syahid, seorang hamba yang tidak disibukkan oleh dunia dan taat kepada Rabbnya dan orang fakir yang memiliki tanggungan namun ia menjaga diri dari meminta minta (HR. Ahmad). Orang yang miskin akan masuk surga terlebih dahulu dari orang-orang kaya karena mereka tidak memiliki sesuatu untuk dihisab. Selisih waktu antara keduanya adalah 40 tahun. (HR. Muslim).

:) Syukur alhamdulillah saya yakin Allah akan tunaikan hajat saya....


Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....