Rabu, 1 Ogos 2012
Tips Mengekalkan Stamina Iman Hingga ke Penghujung Ramadhan
1) Periksa semula apakah tujuan kita berpuasa? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga? Tanda-tanda orang yang berpuasa cuma untuk menahan lapar dan dahaga adalah mereka banyak melakukan dosa-dosa yang dapat mengurangkan pahala puasa mereka. Mereka mengumpat, menonton gambar lucah, membazir masa, membazir duit dan masih culas mengamalkan ibadah wajib seperti solat dan menutup aurat. Jika ada diantara kita yang masih melakukan perkara-perkara tersebut, ingatlah betapa anda sangat rugi! Anda telah berjaya ditipu oleh syaitan. Anda bukan sahaja kerugian kerana kehilangan pahala-pahala besar yang berganda-ganda, malah jiwa anda akan dihimpit rasa terbeban kerana berpuasa.
2) Jelaskan kepada diri bahawa tujuan kita berpuasa adalah untuk menjadi hamba Allah yang taat terhadap perintah Allah. Ianya juga adalah sebagai amalan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan mengekang nafsu syahwat. Pada masa inilah sepatutnya kita berjuang untuk mengalahkan nafsu syahwat kita. Pintu untuk meransang syahwat ini terletak pada pancaindera kita. Jadi untuk menghalang nafsu daripada bergelojak, tutuplah pintu-pintu yang dapat meransang syahwat ini. Jangan melihat, mendengar atau bercakap mengenai perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Jika kita sudah tahu kita pasti tidak akan mampu menahan diri apabila terdedah dengan perkara yang mendorong syahwat, maka jangan dekati ia!
3) Bina persekitaran yang sentiasa memberi kita semangat untuk sentiasa perbaiki diri. Hari-hari dengarkan telinga tazkirah-tazkirah daripada media. Lebih bagus jika tazkirah-tazkirah yang didengar itu diulang-ulang semula. Jangan hanya mahu mendengar sekali kemudian tidak mahu mendengar lagi. Manusia ini sifatnya memang perlu diingatkan berkali-kali. Kali pertama selalunya masuk 80%, dan keluarnya 70%. Jadi yang tinggal cuma 10%. Maka dengar lagi tazkirah tersebut. Mungkin kali kedua yang tinggal dalam otak kita sudah bertambah kepada 20%. Perkara ini akan sangat membantu diri kita untuk berlawan dengan nafsu. Tatkala sedang rambang mata hendak memilih juadah berbuka puasa, segeralah kedengaran suara yang memberi tazkirah supaya jangan membazir. Lalu nafsu kita yang sebentar tadi sudah terkinja-kinja mahu membazir menjadi kendur.
4) Setiap kebaikan yang kita ingin lakukan pasti ada yang membencinya. Jika tidak manusia lain yang cemburu, nafsu dan syaitanlah yang cemburu. Selama berbulan-bulan syaitan melatih nafsu supaya bertambah benci kepada kebaikan sehinggalah apabila syaitan dikurung pada bulan Ramadhan, nafsu sudah tebal rasa bencinya kepada kebaikan. Kesannya, kita menjadi berat dan malas hendak membaca Al Quran, bersolat wajib dan sunat, menutup aurat, bersedekah dan berzikir. Berdekah-dekahlah syaitan ketawa kerana usahanya selama ini sudah berjaya. Maka ramailah nanti yang akan turut sama mengikut syaitan dihumban ke dalam neraka. Ingatlah, kita perlu memaksa diri dalam kebaikan. Kita perlu paksa diri membaca Quran. Kita perlu paksa diri menunaikan solat wajib dan sunat. Begitu juga kebaikan lain, semuanya bermula dengan paksaan. Ikhlas itu akan hadir apabila kita sudah puas memaksa diri sehingga diri itu sendiri sudah terbiasa dan senang hati menjalankan kebaikan.
5) Ramadhan ini bukanlah bulan untuk beristirehat, berlembik dan menghentam tidur. Sangatlah tertipu mereka yang girang menyanyikan lagu-lagu raya dalam keadaan tidak menutup aurat dan mendayu-dayu kerana merasakan mereka sudah berjaya menamatkan Ramadhan mereka. Ramadhan ini adalah pesta ibadah, di mana kita semua sepatutnya berlumba-lumba beribadah. Kita berlumba supaya dapat memberi kita semangat untuk menambah amal soleh di siang dan malam hari. Zaman Rasulullah saw dahulu, pada bulan Ramadhan pun boleh pergi berperang. Kita pula bagaimana? Sepatutnya kita dapat bekerja dengan lebih cemerlang berbanding dengan orang-orang kafir. Ini tidak, puasa dijadikan alasan untuk curi tulang.
6) Malas itu berkait rapat dengan iman. Apabila kita malas hendak melakukan kebaikan, itu tanda-tanda iman kita sedang lemah. Apabila kita rajin hendak melakukan kebaikan, itu tanda-tanda iman kita sedang bertambah. Iman ini ibarat air pasang surut. Jadi jika tersedar hadirnya rasa malas, segeralah beristigfar, Astagfirullah... Astagfirullah... Maksud istigfar ini adalah "Ampunilah aku ya Allah..." Kita kenalah beringat bahawa kita tidak akan mampu meraih kebaikan tanpa izin daripada Allah. Segala kekuatan datang daripada Allah.Orang yang lemah imannya adalah orang yang jauh daripada Allah. Mereka ini golongan yang rugi kerana di dunia hidupnya tidak senang, di akhirat juga tidak senang. Dunia melepas, akhirat pun melepas.
7) Jaga pemakanan kita. Bukan setakat menjaga khasiat makanan yang seimbang, malah pastikan makanan yang kita telan itu tiada unsur haram dan syuhbah. Makanan yang tidak suci akan menggelapkan hati. Maka wujudlah manusia-manusia yang bodoh sombong. Sudahlah jahil, tetapi degil tidak mahu menerima nasihat. Hatinya sudah terhijab dek kerana makanan yang ditelannya.
Cukuplah setakat ini dahulu. :) Terima kasih kepada sahabat-sahabat seusrah yang berkongsi tips-tips ini semalam. Moga Ramadhan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun lepas. Ingatlah, tiada gunanya tahu sahaja tips ini tetapi tidak diamalkan. Ibarat orang yang sakit tetapi tidak mahu makan ubat, maka sukarlah hendak sembuh.
Akhir sekali dengarkanlah .....
rujukan : http://www.4shared.com/music/j9X3Zfye/Usrah_31_Julai.html?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Assalamualaikum... :)