Rabu, 14 Mac 2012

Usrahku Sayang

Kali pertama mendapat sms jemputan usrah adalah 6 tahun yang lalu. Ketika itu saya baru menjejakkan kaki di bumi Universiti Sains Malaysia. Ketika itu saya tidak tahu apa makna usrah, dan senior tidak menamakannya usrah. Senior saya memanggilnya 'Student Cycle'. Sebaik mendapat sms itu, saya menjadi gelisah. Apa 'Student Cycle' ni? Program berbasikal ke? Atau program kitar semula barang terpakai? Senior yang sms saya turut sms teman baik saya jadi kami bersama-sama pun hadir pada pertemuan pertama.


Pertemuan pertama adalah di surau blok kami. Aneh. Mengapa di surau sedangkan bukan waktu solat? Saya dan teman saya datang daripada latar belakang sekolah harian dan kami lansung tidak tahu menahu mengenai usrah dan yang sewaktu dengannya. Bermula dengan pertemuan pertama, kami terus mengadakan pertemuan demi pertemuan sehinggalah setahun berlalu. Naqibah yang membimbing usrah kami sangat penyayang dan ceria.Setiap minggu hati saya begitu ternanti-nanti bilakah kami dapat bertemu. Apabila bertemu, naqibah sentiasa ada cerita baru atau permainan baru untuk kami beraktiviti. Naqibah bertanyakan khabar kami dan kami dengan lapang hati tidak ragu-ragu menceritakan masalah kami. Kemudian naqibah akan memberikan pandangan dan nasihat seolah-olah seorang ibu yang memberi nasihat. Ketika itu saya sangat hairan mengapakah manusia asing ini begitu mengambil berat terhadap diri saya? :)

Seringkali saya terfikir betapa bertuahnya saya kerana mempunyai kenangan indah bersama naqibah pertama dahulu. Kini saya sendiri ada ahli-ahli usrah dan kebanyakkan ahli-ahli usrah itu sendiri adalah naqibah-naqibah kepada ahli-ahli usrah mereka.

Usrah mempunyai banyak kelebihan. Kelebihan utama ialah kita mendapat sahabat-sahabat yang sudi memberi nasihat, menegur kesalahan dan berkongsi masalah. Usrah juga sebagai platform (medium/alat) untuk kita menambah ilmu dan kemahiran. Di dalam usrah, perkara asas seperti fardhu ain dan fardhu kifayah ada disentuh. Kita belajar cara memperbaiki bacaan quran dan solat berjemaah.


Kini saya dan ahli usrah saya sudah bekerja dan kami masih berusaha untuk bertemu seperti dahulu. Apabila orang lain bertanya latar belakang kami, mereka hairan kerana kami mengambil bidang yang berbeza namun begitu rapat. Jawapannya adalah usrah, usrah yang menerima kami tanpa membezakan latar belakang kami. Kami bersama atas dasar ukhwahfillah. Alhamdulillah.. Semoga sahabat-sahabat juga merasai kemanisan berusrah. :)

p/s: Halaqah Malaysia ada menganjurkan usrah via skype seminggu sekali. Sekiranya berminat untuk menyertai atau ada rakan lain yang ingin sertai, boleh mendafar di borang keahlian web Halaqah Malaysia ini. :) Inshaallah anda akan dijemput berusrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....