|
jika jatuh cinta kpd seseorg krn kebaikan seseorang itu dlm agama-Nya, maka ia juga seiring tanda cinta krn Allah... maka cara mencintai org itu adalah dgn berdoa kpd Allah utk org yg dicintai itu supaya seseorg itu diberkati hidupnya dan sntiasa bahagia dunia akhirat...jgn membuat dia selalu teringatkan kita tetapi buatlah supaya dia selalu ingat Allah sbb hati dia akan lebih bahagia bgitu... ♥ |
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan. Membicarakan isu majlis kenduri kahwin (walimah) daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, majlis kenduri kawin (walimah) daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat firman Allah SWT maksudnya :“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(boros) dengan melampau (Surah al-Isra' ayat 26)
Terdapat banyak perkara-perkara bertentangan dengan ajaran Islam semasa di adakan majlis kenduri kawin di dalam masyarakat kita. Sebagai seorang muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa kita perlulah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bertentang dengan ajaran Islam. Jika boleh di elakkan maka elakkanlah semoga kita mendapat keredaan Allah SWT.
Oleh kerana majlis kenduri kawin adalah sebagai satu ibadah (meraikan tetamu dengan majlis jamuan) selepas majlis akad nikah dijalankan, maka perlulah kita berwaspada supaya ibadah yang kita baru tunaikan tidak dicemari dengan kemugkaran dan mendapat kemurkaan Allah SWT.
Perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan dari al-Quran.
|
Gambar hiasan : Sepupu saya... Kini sudah ada dua babies... |
Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah SWT. yang bermaksud : " Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' ayat 4 )
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Hadis Riwayat Bukhari )
Dari hadis di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu baginda bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat al-Quran, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Nabi SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.
Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Hadis Riwayat Ahmad )
Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.
Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu ringgit Malaysia adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.
Jika hantaran tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan keadaan semasa dan pihak lelaki berkemampuan membayarnya tidaklah menjadi satu kesalahan dan ianya diharuskan.
Kedua : Adakah bersanding merupakan ajaran Islam?
Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.
Apa yang berlaku semasa majlis bersanding ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.
Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.
Menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirat dan Halal dan Haram fil Islam, halaman 36. : “Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram”
Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.
Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra : "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai).”
(Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa’i 5092)
Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za’faran (kuma-kuma).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang? Beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya dibuang begitu sahaja! Adalah jauh lebih baik rombongan pengantin lelaki membawa makanan atau buah-buahan sebagai hadiah kepada pihak pengantin perempuan. Sirih junjung dikira sebagai barang membazir dan menyusahkan sahaja.
Keempat : Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?
Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”
Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam "Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.
Kelima : Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?
Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.
Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”
Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."
Dalam hadis yang bertaraf ‘hasan’ yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan.”
Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan adalah dilarang.
Sahabat yang dimuliakan,
Islam menyarankan majlis kenduri kahwin (walimah) hendaklah diadakan cara yang sederhana tetapi meriah. Tidak membebankan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Jika kurang berkemampuan adakan majlis yang sederhana sahaja dan perlu mengundang saudara mara yang terdekat , jiran tetangga dan sahabat-sahabat yang rapat sahaja. Tidak perlulah berhutang dan bergolok bergadai semata-mata untuk mencari kemegahan dan riak sedangkan cara seperti ini dilarang dan ditegah oleh agama.
Kenapa perkahwinan umat Islam sekarang ini tidak kekal dan berlaku penceraian walaupun umur perkahwinan tidak sampai setahun? Sedangkan kos perbelanjaan perkahwinan telah dihabiskan puluhan ribu ringgit. Puncanya adalah tidak terdapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT kerana terdapat banyak unsur maksiat dan dosa semasa dilangsungkan majlis perkahwian tersebut. Oleh itu perlulah kita buangkan adat-adat melayu lama yang bertentangan dengan syariat Islam seperti adat bersanding, hiburan yang mendatangkan dosa dan mengelakkan pembaziran dengan menyediakan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Majlis prkahwinan adalah ibadah, pastika kita tidak melaggar batas-batas syarak yang di benarkan oleh Allah SWT.
copy from :