Khamis, 31 Januari 2008

kisah para sahabat di zaman Rasulullah saw

”BERSIMPATI, ITHAR (PENGORBANAN JIWA) DAN BERBELANJA DI JALAN ALLAH”

Ithar bermaksud mengutamakan orang lain sewaktu diri sendiri memerlukan sesuatu keperluan. Sebenarnya sukar bagi kita untuk meneladani secara keseluruhan setiap satu perlakuan dan amalan para sahabat r.a. sekiranya sesiapa dapat mencontohi perlakuan dan amalan para sahabat r.a. walaupun sebahagian kecil sahaja, ini merupakan suatu keberuntungan yang besar. Namun demikian, sebahagian daripada akhlak mereka begitu unggul sekali dan merupakan suatu keistimewaan yang menjadi milik mereka sahaja. Antara akhlak tersebut ialah sifat ithar. Allah swt memuji mereka dalam kitabNya yang mulia.
”Mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.” (al-Hasyr:9)

1. Sahabat r.a Memadamkan pelita untuk Menjamu Seorang Tetamu

Seorang sahabat r.a telah menemui Rasulullah saw dan menyatakan keadaanya yang sangat susah dan lapar. Baginda saw telah menghantar seseorang ke rumahnya tetapi tidak mendapat sesuatu makanan pun. Lalu Baginda saw bertanya kepada para sahabat saw ,”Adakah sesiapa yang sanggup melayaninya sebagai tetamu untuk satu malam?”
Seorang sahabat ansar r.a berkata ”Wahai Rasulullah, saya akan melayaninya.”

Beliau telah membawa sahabat itu ke rumahnya dan berkata kepada isterinya,”Beliau ini ialah tetamu Rasulullah, janganlah sembunyikan sesuatu bendapun dan pastikan tidak ada sebarang kekurangan dalam layanan kita terhadapnya.”
Isterinya berkata, ”Demi Allah, ada sedikit makanan untuk anak-anak dan tiada yang lain daripada itu di dalam rumah kita.”
Sahabat itu menjawab, ”Tidurkan anak-anak sehingga mereka lena dan bawalah makanan lalu kita duduk bersama tetamu itu. Kemudian engkau bangun dengan alasan untuk memperbaiki pelita dan terus memadamkan pelita itu.” Si isteri telah melakukan seperti yang dirancang. Suami, isteri serta anak-anak mereka telah menghabiskan malam itu dalam keadaan kelaparan. Oleh kerana peristiwa inilah ayat ini diturunkan,

”Mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka berada dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.” (al-Hasyr:9)

Keterangan
Banyak peristiwa yang seumpama ini dilalui oleh para sahabat r.a. oleh itu saya tulis lagi satu kisah yang seumpama kisah di atas.

2. Memadamkan pelita untuk menjamu seorang yang berpuasa

Seorang sahabat selalu berpuasa berturut-turut. Beliau tidak mempunyai sebarang makanan untuk berbuka puasa. Seorang sahabat Ansar, Hazrat Thabit r.a dapat memahami keadaan sahabat itu melalui firasatnya. Beliau telah berkata kepada isterinya, ”Malam nanti aku akan membawa seorang tetamu. Apabila dia mula makan maka engkau padamkanlah pelita dengan helah untuk membetulkan pelita itu dan selagi tetamu tidak kenyang selagi itu engkau jangan makan.”
Pada malam itu, mereka telah melakukan sedemikian. Kedua-dua mereka duduk bersama tetamu seolah-olah mereka juga turut makan. Pada keesokkan pagi apabila Hazrat Thabit r.a pergi ke majlis Nabi saw, maka Baginda bersabda, “Layananmu terhadap tetamumu malam tadi sangat-sangat disukai oleh Allah swt” (Durrul Manthur)

3. Seorang Sahabat Melebihkan Pembayaran Zakat

Hazrat Ubai bin Ka’ab r.a menceritakan, ”Pada suatu hari saya telah diutus oleh Rasulullah saw untuk memungut zakat. Saya telah pergi menemui seorang sahabat dan selepas menaksirkan hartanya saya mendapati dia wajib mengeluarkan seekor unta yang berumur setahun. Saya pun meminta unta itu daripada beliau maka beliau berkata,”Anak unta berumur setahun? Unta itu tidak boleh menghasilkan susu dan juga tidak boleh ditunggang.” Kemudian beliau telah memberi seekor unta betina yang sangat cantik sambil berkata, ”Bawalah unta ini.”
Saya menjawab ”Saya tidak boleh menerima unta ini kerana saya tidak dibenarkan mengambil unta yang bagus. Pada masa ini, Rasulullah saw sedang dalam perjalanan. Baginda saw akan singgah di suatu tempat yang berhampiran dengan tempat ini. Sekiranya kamu berkeinginan memberi unta ini juga, maka kamu bolehlah pergi berjumpa Baginda saw dan tunjukkanlah kepada Baginda saw sendiri. Sekiranya Baginda saw menerima maka saya tidak akan menolak. Jika tidak, saya keberatan untuk menerima unta tersebut.”
Beliau pun membawa untanya mengikuti saya pergi berjumpa Nabi saw. Beliau berkata , ”Ya Rasulullah, wakil tuan telah datang kepada saya untuk memungut zakat. Demi Allah, sehingga hari ini saya belum mendapat peluang istimewa untuk menyerahkan harta saya untuk digunakan oleh Rasul Allah atau wakilnya. Oleh sebab itu saya mengemukakan semua harta saya dan beliau telah berkata bahawa daripada semua harta tersebut saya hanya wajib mengeluarkan seekor anak unta yang berumur setahun. Wahai Rasulullah, anak unta yang berumur setahun tidak memberi sebarang faedah baik dari segi penghasilan susu mahupun untuk dijadikan tunggangan. Oleh sebab itu, saya telah mencadangkan seekor unta betina yang muda tetapi beliau enggan menerima unta itu. Oleh itu saya membawa unta betina itu dan datang sendiri berjumpa tuan.”
Rasulullah saw bersabda,”Hanya sebanyak itulah yang wajib ke atas kamu sebagaimana yang telah diberithu. Namun, jika kamu memberi yang lebih baik dan lebih banyak maka akan diterima. Allah swt akan mengganjari kamu.” Sahabat itu berkata, ”Inilah unta itu.” Rasulullah saw telah mendoakan keberkatan untuknya. ”Semoga Allah swt memberi ganjaran terhadap pemberianmu.”
Keterangan
Inilah keadaan pengeluaran zakat pada waktu itu. Pada hari ini, ramai yang mendakwa beragama Islam dan kasih kepada Rasulullah saw tetapi dalam menunaikan zakat tidaklah usah disebut untuk menambah, untuk menunaikan kadar yang wajib pun perit untuk dilaksanakan. Golongan atasan yang mempunyai harta yang banyak jarang-jarang menyebut tentang zakat. Sementara golongan pertengahan dan yang mengaku diri mereka ahli agama pun berusaha agar segala perbelanjaan yang mereka keluarkan untuk saudara mara dan perbelanjaan kerana sesuatu yang terdesak pun diniatkan sebagai pemberian zakat.

4. Abu Bakar r.a dan Umar r.a Berlumba Dalam Menderma

Umar r.a menceritakan, ”Pada suatu hari Rasulullah saw telah mengarahkan kami untuk mengorbankan harta di jalan Allah swt. Kebetulan pada masa itu saya mempunyai sedikit harta. Saya telah berkata sendirian ”Kebetulan pada ketika ini aku mempunyai harta. Sekiranya ada peluang untuk aku mengatasi Abu Bakar r.a maka inilah masanya.”
Setelah berfikir sedemikian, dengan perasaan gembira saya pulang ke rumah dan saya telah membawa separuh daripada harta yang ada di rumah. Rasulullah saw bertanya, ”Apakah yang telah kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?’
Saya menjawab, ”Ada sedikit.”
Rasulullah saw bertanya lagi, ”Berapa yang kamu tinggalkan?”
Saya menyatakan ”Saya tinggalkan separuh.”
Abu Bakar r.a telah membawa kesemua harta yang ada di dalam rumah beliau. Rasulullah saw bertanya, ”Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?”
Beliau menjawab,”Saya tinggalkan Allah dan Rasul untuk mereka.” Yakni beliau tinggalkan keberkatan nama Allah swt dan rasulNya serta keredhaanNya untuk keluarga beliau.
Umar r.a berkata, ”Sekali-kali saya tidak akan dapat mengatasi Abu Bakar r.a.”

Keterangan
Berusaha mengatasi orang lain dalam kebaikan adalah sangat baik lagi digalakkan. Dorongan tentang hal ini pun terdapat dalam Al-Quran. Peristiwa di atas berlaku semasa persiapan perang Tabuk. Pada masa itu, Rasulullah saw telah mendorong para sahabat r.a secara khusus untuk menderma. Para sahabat r.a bukan sahaja memberi bantuan setakat yang mampu malah melebihi kemampuan mereka sendiri.

5. Para Sahabat r.a Mati Kehausan Demi Saudara Mereka

Abu Jahm bin Huzaifah r.a menceritakan, ”Semasa peperangan Yarmuk, saya telah pergi mencari saudara sepupu saya yang telah menyertai peperangan itu. Saya telah membawa air di dalam sebuah bekas kulit untuk memberi beliau minum sekiranya beliau kehausan. Secara kebetulan saya telah menemui beliau terlantar di suatu tempat dalam keadaan nazak. Saya telah bertanya, ”Adakah kamu inginkan air?” Beliau telah menjawab dengan isyarat, ”Ya.”
Dalam pada itu seorang lagi sahabat yang terlantar berhampiran sepupuku mengerang kesakitan. Beliau juga dalam keadaan hampir mati. Sepupu saya telah mendengar suaranya lalu dengan isyarat telah mengarahkan saya pergi ke tempat sahabat tersebut. Saya pun pergi membawa air kepada beliau. Beliau ialah Hisyam bin Abil A’s r.a
Sesampai sahaja di sisinya, seorang lagi sahabat yang terlantar dalam keadaan nazak juga telah mengerang kesakitan. Hisham r.a pun mengarahkan saya melalui isyaratnya supaya pergi kepada sahabat itu.
Setibanya saya di sisi sahabat tersebut dengan membawa air saya mendapati beliau tidak bernyawa lagi. Lalu saya kembali ke tempat Hisham r.a, beliau juga telah meninggal dunia. Dari tempat Hisham r.a saya kembali ke tempat sepupu saya, beliau juga telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Keterangan
Beberapa kisah seumpama ini telah diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith. Betapa tinggi sifat ithar mereka! Sepupu sendiri sedang nazak dan berada dalam keadaan dahaga. Dalam keadaan sedemikian, susah untuk seseorang itu memberi tumpuan kepada orang lain apatah lagi untuk meninggalkan seorang saudara yang dalam kehausan lalu pergi memberi minum kepada orang lain.
Selain itu, walaupun pada saat-saat mereka hampir meninggal dunia, ketika segala kesedaran dan perasaan tidak dapat berbuat apa-apa lagi, mereka masih sanggup mengorbankan nyawa demi simpati kepada orang lain. Semoga Allah swt dengan limpah kurniaNya merahmati roh-roh para sahabat r.a tersebut.

6. Kepala Kambing Berpindah Tangan dan Kembali kepada Tuan yang Asal

Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan, seseorang telah memberi sebiji kepala kambing sebagai hadiah kepada seorang sahabat r.a. Beliau telah berfikir bahawa salah sebuah keluarga daripada kaum kerabatnya yang miskin lebih memerlukan kepala kambing itu. Lalu beliau menghantarkan kepala kambing itu kepada mereka. Mereka itu juga berfikiran sama seperti sahabat di atas terhadap sahabat yang ketiga dan telah menghantarkan kepala kambing itu kepadanya. Ringkasnya kepala kambing itu telah berpindah antara 7 buah rumah dan akhirnya kembali ke rumah sahabat yang pertama.

Keterangan
Daripada kisah di atas, dapat kita ketahui bahawa kemiskinan di kalangan para sahabat r.a merupakan perkara biasa.Sifat mereka mengutamakan keperluan orang lain lebih daripada keperluan sendiri juga dapat diketahui.

”Cinta itu cahaya sanubari. Kurniaan Tuhan fitrah sanubari.Cinta itu tidak pernah meminta tetapi memberi sepenuh hati.Rasa bahagia biarpun sengsara, berkorban segala-galanya. yang pahit, manis dirasa. Menghibur nestapa merawat duka. Terpadam api benci permusuhan, terjalinlah kasih sayang.Cinta yang sejati hanya cintakan Ilahi.. Cinta ayah bonda turut suci selamanya.. cinta kan saudara masa berada hanya sementara. Cinta sesama insan suburkan dengan ketakwaan..”

SaLaM uKhWah MbM ;-D

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....