”Yang Terindah..pada dirimu..”
Akhlak mulia Allah suka. Akhlak mulia Rasulullah suka. Akhlak mulia semua orang suka. Mengapa semua orang suka? Kerana fitrah semulajadi manusia mahu disayangi, dikasihi dan dihormati. Cuba kita tengok dalam dunia realiti, betapa kita sendiri tidak dapat menafikan bahawa kita suka orang yang berbuat baik kepada kita.
Persoalannya adakah kita sudah cukup baik? Adakah kita melayan orang di sekeliling kita seperti mana kita ingin dilayan? Jika ya, adakah kita benar-benar pasti? Bagaimana kita tahu orang yang berhadapan dengan kita itu benar-benar berpuas hati? Seringkali orang mengatakan ‘tak mengapalah’,’sikit sahaja’,’tak kisahlah’ dan ‘tak sengaja’ kepada kita apabila kita berbuat salah dengan mereka. Adakah kita kemudian bersenang hati selepas mendengar respon mereka itu? Pernahkah kita terfikir mungkin mereka hendak menyenangkan hati kita sedangkan di dalam hati mereka membungkam?
Sahabatku yang dikasihi sekalian,
Kita mungkin merasakan tidak penting untuk menjaga soal hati orang lain dengan menganggap ianya mustahil untuk dijaga. Tetapi Islam itu indah dan lengkap, sesuai dengan fitrah manusia. Tiada satu persoalan pun yang tidak boleh dijawab di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Keindahannya jelas terpapar pada contoh tauladan yang dipamerkan pada diri Rasulullah tercinta. Akhlak baginda sangat sempurna dan tiada tolok bandingnya. Allah swt sendiri sudah menjadi penjaminnya. Sudah ramai pengkaji yang berbilang agama dan bangsa mengiktiraf keunggulan peribadi baginda.
Akhlak mulia ini penting kerana ianya adalah tanggungjawab kita ke atas tubuh yang Allah pinjamkan kepada kita. Ianya adalah tanggungjawab yang terpaksa kita pikul sama ada mahu atau tidak. Ibarat menyedut oksigen, sama ada mahu atau tidak kita terpaksa menyedutnya untuk terus hidup. Belum ada lagi manusia yang dapat hidup dengan menyedut gas nitrogen atau gas helium setakat ini.
Apakah tanggungjawab yang terpaksa kita pikul itu? Bunyi macam berat tetapi kalau kita fahami tidaklah seberat mana. Tak kenal maka tak cinta. Di akhirat nanti ketika kita semua dibangkitkan untuk dihitung segala amalan kita, Allah akan menyoal kita tentang amalan-amalan kita di dunia. Ketika itu bukannya kita yang bercakap tetapi anggota-anggota kita kita yang bercakap. Cubalah sahabat-sahabat sekalian bayangkan tangan yang selama ini kita gunakan untuk menulis, makan, mandi dan sebagainya membuka keaiban kita di mahkamah Allah swt. Itu baru tangan, belum setiap helai rambut di badan kita berhujah. Tidak hairanlah ada insan yang gugur kulit-kulitnya kerana terlampau malu mendengar keaibannya dibuka di khalayak umat manusia dari zaman Adam hinggalah Hari Kiamat. Pada masa inilah seorang ibu yang begitu sayangkan anaknya dan sanggup mati demi anaknya ketika di dunia akan bersungguh-sungguh menyuruh tempatnya digantikan dengan anaknya. Dua orang sahabat yang juga dahulu sangat rapat dan saling berkasih sayang akan bercakaran dan saling maki memaki. Mengapa situasi yang sebegini berlaku?!!
Kerana masing-masing sedang sangat terdesak cuba menambah pahala untuk saat terakhir agar terlepas dari neraka. Masakan tidak, api neraka itu bukan sebarangan api. Api itu sangatlah besar menyala-nyala, teramat panas berkali-kali ganda dari dunia, bahan bakarnya adalah manusia, bunyi pula mengaum-ngaum dan memaki manusia-manusia yang bakal dicampakkan ke dalamnya. Api di dunia ini cuma sebesar zarah api neraka yang telah dicelup dengan tujuh lautan dan diletakkan di tengah perut bumi.
Sahabat yang dikasihi sekalian, kebanyakan manusia tersungkur di pintu syurga dan terpaksa dicampak ke dalam neraka disebabkan akhlak mereka. Akhlak ialah budi pekerti seorang manusia terhadap segala yang ada di sekeliling mereka – Allah, Rasulullah, ibu bapa, guru, saudara seislam, bukan Islam, haiwan dan alam sekitar.
Setiap muslim yang menganut agama Islam membawa imej agama suci ini ketika berada di dalam masyarakat. Masyarakat akan menilai agama tersebut berdasarkan penganutnya. Janganlah kerana kita seorang yang membuang sampah merata-rata, seluruh umat Islam dipandang tidak bertanggungjawab sedangkan dalam Islam telah menegaskan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Inilah yang saya cuba hendak fahamkan kepada para pembaca sekalian bahawa tanggungjawab yang berat itu ialah dengan memelihara akhlak kita. Jangan sampai habis terhapus semua pahala kita kerana dituntut oleh seluruh umat Islam di akhirat nanti disebabkan kesalahan dan kecuaian kita semasa hidup dahulu.
Bunyi macam berat tetapi sudah diciptakan alam ini sesuai dengan fitrah manusia. Tujuan kita diancam dengan seksaan neraka untuk kebaikan umat manusia juga. Kita tidak mahu disakiti maka janganlah menyakiti makhluk lain. Sebagai manusia yang lemah dan tidak terlepas dari melakukan kesalahan marilah kita cuba memperbaiki diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita. Tunjukkanlah contoh akhlak yang baik, insyaAllah ada hati yang tersentuh. Sekeras-keras batu dapat juga dipecahkan oleh air, inikan pula hati manusia biasa. Kenalilah Nabi kita, hayatilah riwayat baginda dan cintailah baginda.
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah bagi kamu adalah tauladan yang baik”
( Al-Ahzab: 21)
Allah swt telah memuji NabiNya serta menunjukkan nikmatNya terhadap baginda saw dalam firman Nya yang berbunyi :
“Sesungguhnya engkau mempunyai budi pekerti yang luhur.”
(Al-Qalam : 4)
Berkata Siti Aisyah ra :
“Adalah Rasulullah saw itu budi pekertinya Al-Quran.”
Bersabda Rasulullah saw :
“Sebenarnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.”
Bersabda Rasulullah saw lagi :
“Agama itu adalah kemuliaan budi pekerti.”
Maksudnya ialah supaya anda jangan selalu marah-marah. Kemudian Rasulullah saw pernah ditanya: Apakah kecelakaan itu? Baginda menjawab: Kecelakaan itu ialah kejelekan budi pekerti.
Rasulullah saw bersabda: Takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, ikutilah segala kejelekan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya. Dan pergaulilah sekalian manusia dengan budi pekerti yang baik.
Ketika diberitahu kepada Rasulullah bahawa terdapat seorang wanita yang berpuasa di siang hari dan bertahajud di malamnya pula, akan tetapi dia berbudi pekerti jahat, selalu mengganggu tetangganya dengan kata nista. Baginda menjawab: Tidak ada gunanya wanita itu. Dia tergolong ahli neraka.
Bersabda Rasulullah saw:
“Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi Zatnya, maka tiadalah sesuai lagi bagi agamamu itu, melainkan dengan sifat murah hati dan berbudi pekerti luhur. Ingatlah supaya kamu menghiasi agamamu dengan kedua sifat tersebut.”
Ketika Rasulullah saw ditanya, siapakah di antara kaum mukminin yang paling utama keimanannya? Baginda menjawab : Yang paling baik budi pekertinya.
“Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan budipekerti yang baik.”
Bersabda Rasulullah saw kepada Abu Zar : Tidak akan sempurna akal, melainkan dengan pentadbiran(perencanaan) dan tidak sempurna keturunan, melainkan dengan budi pekerti yang mulia.
Al-Hasan berkata pula : Orang yang buruk akhlaknya samalah seperti orang yang menganiaya dirinya.
Wahab berkata : Perumpamaan budi pekerti yang buruk seperti tembikar yang telah pecah, tidak boleh diperbaiki dan tidak boleh kembali menjadi tanah liat.
Al-Fudhail berkata : Berkawan dengan orang yang derhaka tetapi baik budi pekertinya, lebih utama dari berkawan dengan orang yang abid(banyak beribadat) tetapi buruk budi pekertinya.