Sabtu, 24 September 2011

Kehidupan Baru..


Cinta itu anugerah Allah, beruntunglah manusia yang mempunyai cinta di dalam hatinya.
Cinta suci itu adalah cinta yang lahir di jiwa yang subur imannya. Cinta suci itu tercipta untuk membahagiakan pemiliknya dan yang menerimanya. Cinta dusta itu pula tercipta untuk menyakiti pemiliknya dan yang menerimanya. Peliharalah cinta di dalam hatimu supaya cinta itu membawamu meniti ke syurga-Nya...

Subhanallah dan Alhamdulillah... 
Allah menumbuhkan rasa cinta di dalam sanubari ini terhadap kerjaya yang diceburi. Kini saya bekerja bukanlah sekadar untuk mencari sesuap rezeki sebaliknya adalah kerana cinta yang semakin mekar di sanubari ini.

Allah Maha Penyayang. Ketika kita mahukan sesuatu, kita berharap dan berusaha. Namun Allah tidak memberinya kepada kita apabila Allah mengetahui bahawa ianya tidak baik untuk kita. Apabila keadaan dan masanya sudah sesuai, dirasakan hamba-Nya yang lemah ini sudah bersedia, barulah Allah akan memperkenankan keinginan hamba-Nya. Adakalanya apa yang diberikan Allah tidak seperti yang hambaNya  pinta kerana Allah memberikan yang jauh lebih baik dari doa hambaNya. Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Berkuasa.

Saya masih ingat beberapa bulan yang lepas, saya meninjau beberapa rumah kosong. Ada sesetengahnya begitu menarik hati saya. Saya sudah jatuh hati kepada rumah tersebut. Jiwa mahu lekas pindah dan tidak sabar-sabar mahu berumah baru. Namun Allah menahan kehendak hati. Mulanya jiwa alpa ini memberontak dan akhirnya mengaku kalah kepada kuasa Allah. Jiwa ini kembali tenang setelah bermuhasabah. Niat perlu betul. Sebagai seorang anak perempuan, memilih untuk melangkah keluar dari rumah ayah bonda bukanlah semudah bermalam di hotel. 

Apabila Allah berkehendak, segalanya menjadi mudah.. Subhanallah.. Sebelum raya lepas, saya terpaksa berpindah keluar dari rumah secara mengejut. Dalam masa kurang 24 jam, saya akhirnya mendapat rumah baru yang sangat selesa dan cantik! Lebih cantik berbanding rumah-rumah yang saya pernah lihat sebelum ini. Mungkin istilah 'cantik' di mata saya tidaklah 'cantik' di mata anda. Saya tidak mengharapkan sebuah kediaman yang mewah dan lengkap serba serbi. Apa yang saya harapkan cumalah sebuah tempat yang dapat memberi ketenangan dan dapat membuatkan saya teringatkan Allah...


Ini bilik saya. Bukan bilik tidur. Kalau nak tidur pun boleh je. Bilik ni masih dalam proses make over. Rumah ni ada 3 bilik. Bilik yang paling besar saya jadikan library. Bilik kecil saya jadikan surau. Bilik sederhana untuk saya berehat. :) Ruang tamu pula untuk kelas tuisyen... Rumah ni masih dalam sesi makeover... 




Ini anak sepupu saya. Senang jaga budak ni, letak je. Dia baru pandai meniarap jadi barang-barang saya masih selamat. Tak lama lagi kalau dah laju merangkak, memang semua barang kena susun tempat tinggi.


Adik-adik tiri saya beli aiskrim dan terjatuhkan dried ice dalam sinki. Apalagi... Menarik kan. Saya suka apabila dapur emak menjadi makmal sains. :) Budak-budak lebih cepat memahami konsep sains melalui eksperimen. 
Junior, Omeyy dan Kitty..


Sama color dengan carpet..






Kitty kucing betina, jadi dia berminat dengan handbag wanita.


Abdul : Cikgu, lepas saya pindah nanti kita boleh jumpa lagi? :(
Saya : Tak boleh lah jumpa. Kan dah jauh. Abdul mintalah emak cari tusyen lain di sana. :)
Abdul : Kita dah tak dapat jumpa samapai bila-bila?!! :((
Saya : Eh, boleh-boleh. Raya datang lah rumah saya. :0
Abdul : Nanti saya call cikgu sebelum datang. :)

P/s: sedih nak berpisah.. kelas personal coach  selalu memberi kesan yang mendalam di hati saya. :'(






 Makan-makan untuk group 1 di kelas tuisyen. Group 2 open house di rumah mak..
Disebabkan saya demam, adik saya tolong bersihkan rumah termasuk cuci toilet dan uruskan segala makan minum murid-murid ni. mana nak cari adik baik macam ni? :'(

 Alhamdulillah... Seronok bila tengok peningkatan prestasi anak murid... Seronok bila dapat habiskan silibus awal... Seronok bila dapat meraikan kejayaan mereka... Alhamdulillah...



Cinta itu bagaikan warna-warna pelangi. Indah. Bewarna-warni. Keindahan itu hadir selepas hujan reda. Maka kita hendaklah bersabar dan terus bersabar semasa hujan turun sekiranya kita ingin melihat pelangi yang indah. 

:)

InshaAllah....

Khamis, 15 September 2011

Selepas setahun...I'm back!

Saya nervous. Rasa nak muntah. Sakit badan. Sudah setahun lebih tidak menjejakkan kaki ke bumi Penang.
 :(
Doa tidak berhenti-henti.. Kisah-kisah pahit yang lalu kembali bertandang ke memori.
Ya Allah.... Bantulah hamba-Mu ini...
Aku di sini semata-mata kerana mengharap redha-Mu....

Tiada kata yang dapat ku gambarkan perasaan yang ku alami.. Bumi Allah ini bersimbah cahaya. Malam itu indah. Saya melihat ke luar tingkap apartment, memandang ke arah tingkap-tingkap hotel yang sangat dekat dengan apartmen kami. Mana satu bilik adik saya? Adakah dia sudah tidur? Apakah yang dia sedang lakukan?
Adakah dia sedang kebosanan atau sedang berseronok menghadap laptop?

Sahabat baik saya sudah dibuai mimpi. Sungguh mudah dia terlena, baru baring terus senyap... bagus betul.
Saya sudah tidur di dalam kereta sepanjang perjalanan siang tadi. Entah mengapa mengantuk benar siang tadi. Saya cuma bangun beberapa kali sekadar untuk bertanya kepada adik lelaki saya "Ngantuk ke? Nak tukar driver?"

Adik lelaki saya menjadi pemandu saya merangkap pengiring saya merentasi beberapa buah negeri untuk ke Pulau Pinang. Dia kelihatan sangat segar. Mungkin sebab kerana dia baru bangun pukul 11 pagi tadi sedangkan saya bangun sebelum subuh dan terus sibuk mengemas sehinggalah kami bertolak. Jadi apabila naik kereta, saya pun ter'shut down'.

Kami singgah di R&R. Makan KFC. Kemudian meneruskan perjalanan 2 jam lagi untuk ke hotel.Sahabat baik saya bekerja di hotel tersebut. Jadi saya telah menempah 1 bilik untuk adik lelaki saya. Saya pula bermalam di apartmen sahabat saya yang betul-betul sebelah hotel itu.

Sebelum perjalanan bermula emak telah berpesan kepada saya supaya memanfaatkan masa dalam kereta untuk menasihati adik lelaki saya. Malangnya saya lansung tidak ingat dan sangat-sangat mengantuk. Hm..

Saya, adik dan sahabat baik saya pergi makan di sebuah restoren. Sahabat saya yang belanja. Itulah kali pertama saya tahu kewujudan 'Satay Hut'. Sepanjang makan, saya dan sahabat saya berebut nak bercakap, entah siapa yang mendengar. Perempuan memang macam tu. :) Adik saya menjadi tukang ketawa. :)

Selepas makan, saya ditemani sahabat terus bergerak ke USM, malam tu saya ada pertemuan dengan adik-adik junior (MT yang baru berusia 2 hari). Saya juga ada bawa barang amanah lain yang perlu diserahkan kepada seorang sahabat lain.

Dalam pertemuan dengan adik-adik Junior itu, banyak pengisian yang saya dapat... Antaranya ialah
"Teman itu ibarat cermin. Kita melihat cermin dalam keadaan buruk dengan harapan cermin berlaku jujur kepada kita dengan menunjukkan keburukan kita supaya kita dapat menjadi cantik selepas memandangnya."

Sahabat baik saya nak tunggu dalam kereta. Dia ni baru baik demam dua hari selepas 2 minggu cuti sakit. Sejujurnya saya rasa dia masih belum sembuh, tengok muka pun tahu. Kesian dia kena tunggu dalam kereta selama 2 jam. Saya tak paksa, dia yang nak ikut dan dia yang nak tunggu dalam kereta.

Sepanjang dalam kereta kami bersembang tak berhenti. Lepas satu topik, satu topik. Sahabat saya berkata "Rezeki manusia ni Allah sahaja yang tahu. Kita janganlah memandang rendah kepada seseorang tu kerana result exam mereka yang tidak berapa bagus sebab kalau mereka orang yang baik, inshaallah mereka akan murah rezeki. Allah ada caranya.."

Ya saya setuju!

"Ini boy friend saya" saya memperkenalkan kepada sahabat baik saya.
Dia tersentak dan tercari-cari kalibat seseorang.
"Ini lah.. GPS" saya ketawa.
"La... haha" dia menyambut ketawa.
Walaupun sesat banyak kali, GPS tetap tidak tahu marah, ia cuma kata 'recalculate' dan memberi petunjuk jalan yang baru... :)

Entah bila saya terlena. Sedar-sedar sahaja sudah pukul 6pagi. Suasana sepi. Saya bangun dan bersolat. Kemudian menelefon adik saya mengejutkannya untuk bersolat subuh. Apartmen masih gelap gelita. Saya berbaring-baring sambil berzikir-zikir dengan harapan mata ini akan terlena. Hajat di hati mahu membatalkan kelas tuisyen petang itu sebab mahu bertolak ke Selangor lewat sikit. Sengaja mahu beri peluang adik lelaki saya berehat puas-puas.
Tiba-tiba sms masuk. 6.30 pagi.
"Cikgu, hari ni jadi nak beraya rumah saya? Mak saya nak masak banyak-banyak. Semua kawan tanya tetang cikgu. Kami semua rindu cikgu."

Saya baru tinggalkan rumah satu malam... Begitu cepat rindu ke??

Yelah-yelah.. Saya balik awal sikit..

"Cikgu ada di P.Pinang ni. Inshaallah lepas asar baru cikgu pergi rumah kamu boleh?" Saya teringatkan ibu pelajar tersebut yang baru sahaja bersalin.

9 am. Bertolak balik ke Selangor.
3 pm Sampai rumah. Alhamdulillah.
4.50 pm Ambil anak-anak murid bawa pergi beraya ke rumah murid lain.
7.30 pm Balik rumah sendiri untuk solat maghrib.
8.00 am Ambil anak-anak murid bawa pergi tusyen.
8.30 pm Tusyen
10.00 pm Hantar anak-anak murid balik
11 pm Menemani seorang lagi anak murid yang belum balik sebab ibu bapanya belum balik kerja

What a hectic day. Alhamdulillah....

Khamis, 25 Ogos 2011

erti syukur

Segalanya yang ku kecapi
Adalah milikMu Ilahi -Tuhan Maha Pemurah-
Tak kan terbalas walaupun sebesar zarah


Kenikmatan yang bertandang
Terkadang tidak dihiraukan - Lepas dari pandangan -
Dan bila hilang barulah dikesalkan

Adakalanya aku hanyut
Adakalanya aku lupa
Adakala aku leka
Ampunilah...
Kerana ku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sisiMu
Seringkali terlupa nikmatMu
Datang tiada jemu
Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut namaMu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur
Syukur atas rahmatMu

Adakala ku hanyut
Adakala ku lupa
Adakala ku leka dan adakala ku alpa
Kerana ku manusia
Lemah dan tak berdaya
Seringkali terlupa nikmat yang Kau kurnia
Ku bersyukur ya Tuhan
Segala pemberian
Walau luas lautan
Bukanlah perbandingan
Ku tingkat keimanan
Ku gilap ketaqwaan
Sebagai perlambangan
Terima kasih ku Tuhan

Onak duri kehidupan
Jatuh bangun sendirian
Ada hikmah yang tersimpan
Yang menguji iman

Bersyukurlah selalu
Sentiasalah redha dan menerima
Tiap ujian tiba bukan diminta
Sebaliknya Allah Maha Mengetahui

Kan ku bertasbih selalu
Bertahmid berzikir padaMu
Sebagai tanda ku nilai
RahmatMu Tuhan

Aku bersyukur Ya Allah
Segala pemberianMu pada ku
Seluas lautan pun bukanlah jadi ukurannya
Memang tiada bandingan
Segalanya yang ku kecapi
Adalah milikMu Ilahi -Tuhan Maha Permurah-
Bukan miliku pinjaman sementara
Syukur Alhamdulillah

Sesungguhnya solatku,
Amalku, hidupku, matiku
Kerna Allah yang satu
Kuserahkan segala harta jiwa dan raga
Sebagai tanda cinta
KepadaMu Yang Esa

Isnin, 22 Ogos 2011

Bagaikan permata di celahan kaca




Kerinduan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang rela bekorban.
Kecintaan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh kesungguhan.
Ketaatan kepada Allah,
melahirkan jiwa-jiwa yang penuh ketenangan.


Hujan lebat. Pandangan hadapan cermin kereta saya kabur. Saya memperlahankan kenderaan. Lansung tidak nampak apa. Sudah tiga kali saya berulang alik dari rumah ke rumah-rumah pelajar. Sudah dua jam saya berkurung di dalam Proton Saga biru ini. Tubuh saya letih kerana bekerja tanpa henti selama dua hari berturut-turut.. Sepanjang siang sebelumnya pula saya sibuk membeli belah bahan-bahan untuk memasak dan peralatan majlis. Pinggan. Mangkuk. Bekas air. Malam itu pula saya pergi mengajar di Kundang. Kemudian saya lansung tidak tidur kerana mengemas bilik. Saya memindahkan satu katil keluar dari bilik saya supaya tetamu-tetamu perempuan boleh bersolat di bilik saya dengan selesa. Sepanjang siang hari berikutnya saya memasak bersama emak untuk menyediakan juadah berbuka puasa istimewa buat lebih 100 orang tetamu kami. Tetamu kami ialah anak-anak murid saya dan keluarga mereka. Memandangkan kapasiti rumah kami yang sederhana ruangnya, hanya anak-anak yang dijemput. Tetapi setiap anak-anak akan diberikan ‘tapau’ untuk dibawa pulang kepada keluarga tersayang.

Saya berhenti di hadapan sebuah flat. Hujan masih lebat. Seorang pelajar perempuan duduk di sebelah saya di dalam kenderaan memerhatikan titisan hujan yang mengalir di cermin kirinya.

“Ini rumah Aishah. Tingkatan empat,”saya bercerita kepada Fatin.

“Ibu Aishah sakit tulang belakang. Semenjak itu Aishah mengambil alih tugas ibunya. Dialah yang memasak untuk adik-adiknya dan menjaga mereka.”saya menyambung cerita.

“Cikgu kenal Aishah sebab cikgu mengajar di masjid secara percuma setiap hari Rabu. Banyak yang cikgu belajar daripada Aishah. Cikgu sayangkan dia kerana mengkagumi kasih sayang dia kepada keluarganya. Adakalanya ketika pelajar lain berbicara tentang kerja sekolah, boyfriend atau masalah-masalah remaja yang lain, Aishah pula bermonolog sendiri ‘Hari ni nak masak apa, balik ni nak tengok apa yang ada.’” Saya menghentikan kata-kata sebaik ternampak kalibat adik-adik Aishah yang begitu ceria melambai saya.

“Pernah satu kali Aishah balik lewat dari sekolah dan tidak sempat memasak lalu dia sms saya meminta tolong belikan nasi bungkus dan ayam goreng. Kebetulan ketika itu saya pula ada mesyuarat di tempat yang jauh. Saya tidak sampai hati nak menolak pesanan Aishah. Jadi say segera balik dan belikan makanan itu. Keesokkannya apabila saya bertemu Aishah barulah saya dapat tahu bahawa makanan itu dibelikan untuk ibunya sedangkan dirinya lansung tidak makan apa-apa pada tengah hari itu.”
Adik-adik Aishah masuk ke dalam kereta saya. Terkial-kial mereka menutup payung yang tersangkut menyebabkan kereta saya basah kerana terlalu lama pintu terbuka.

“Nabil puasa ke ni?”saya mengusik adik kecil

“Puasa!!”Jawab Nabil tegas.

“Ada ponteng-ponteng?”usik saya lagi.

“Tak ada. Penuh semuanya!” Suara Nabil penuh semangat.
Shahrin, abang kepada Nabil ketawa perlahan. Kereta sudah penuh. Aishah dan seorang lagi sahabatnya yang sepatutnya menumpang kereta saya memerhatikan sahaja kami dari jauh. Saya mendail telefon Aishah.

“Nanti cikgu datang semula ya, hehe”. Saya mengakhiri perbualan dengan ketawa kecil. Setiap kali saya menelefon anak-anak murid saya atau sahabat rapat, saya sudah terbiasa akan ketawa kecil di permulaan dan akhir perbualan. Barangkali hati ini terlalu bahagia apabila berbicara bersama mereka yang mendapat tempat di hati saya.

Saya menghantar Nabil, Shahrin dan Fatin ke rumah. Kemudian saya berpatah balik meredah hujan menuju ke flat tadi. Perjalanan mengambil masa 20 minit. Sebaik tiba di rumah saya pada kali kelima, jam suduh pukul 7 lebih. Sudah hampir waktu berbuka!

Hujan yang lebat. Saya tidak sangka masih ramai tetamu yang tetap bersungguh mahu hadir. Ruangan dalam rumah penuh. Ruangan luar rumah pula sedikit berterabur kerana tempias hujan lebat. Syukur Alhamdulillah, Romlah iaitu sahabat susah senang dan adik saya, Ali yang rajin ada di rumah untuk membantu. Kak Amy, pembantu rumah kami juga datang awal dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Mereka semua benar-benar menguatkan diri saya yang semakin lemah ini.

Alhamdulillah.. Majlis berjalan lancar. Saya menghantar beberapa ‘trip’ pelajar-pelajar pulang ke rumah. Saya turut menghantar Aishah ke rumahnya. Adik-adiknya kelihatan sangat gembira. Mereka begitu teruja dengan ‘tapau’ yang diberikan. Mungkin kecil bagi kita tetapi besar ertinya bagi mereka. Wajah-wajah ceria si kecil ini benar-benar membuatkan naluri saya tersentuh. Sepanjang perjalanan riuh rendah di dalam kereta. Semasa kami sudah hampir samapai ke flat mereka, Aishah bertanya “Cikgu, kenapa cikgu buat jamuan ni?”

Saya ketawa kecil. Bagaimana mahu menjawabnya?

“Ada banyak sebab…”

“Pertama ialah sebab bulan ni pahala berganda-ganda. Cikgu nak pahala berganda-ganda.” Jelas. Jujur.

“Kedua ialah sebab cikgu nak jumpa semua anak-anak murid cikgu, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jadi cikgu pilih tarikh dalam bulan Ramadhan ni sebab bulan ni paling mulia.” Jelas.

“Ketiga… erm…” Berfikir.

“Sebab.. bulan ni anak-anak murid saya semua baik-baik. Sebab syaitan dah kena ikat. Jadi semua anak-anak murid saya baik-baik.”

Aishah ketawa.

“Ye ke?” Aishah meragui jawapan ketiga saya. Saya menyambutnya dengan ketawa.

Selepas menghantar Aishah dan adik beradiknya pulang, saya pergi sekali lagi menghantar ‘trip’ terakhir pulang ke rumah. Rumah terakhir ialah rumah Hidayah. Hidayah ini di pandangan saya merupakan anak yang sangat baik hati. Selalu dibuli. Selalu disakiti tetapi sangat sukar menyakiti. Selalunya memaafkan sahaja sesiapa pun tanpa dendam. Beliau sangat naïf dan bersih. Selalu juga membuat saya menangis kerana terlalu banyak yang saya belajar dari anak ini yang bernama Hidayah Solehah.

“Dah tapau?” soal saya walaupun sudah nampak Hidayah meriba sebungkus plastik yang sangat besar.

Sungguh besar. Cukup makan satu keluarga!

“Dah! Banyak ni cikgu…”Hidayah tersenyum-senyum.

“Tadi saya hampir tak dapat tapau.” Hidayah cuba membuka cerita.

“Eh kenapa pula, bukankah cikgu dah pesan ambil awal-awal.” Saya teringat semula bahawa saya menugaskan Hidayah membungkus tapau-tapau untuk semua pelajar.

“Saya bungkus-bungkus. Orang lain datang ambil-ambil. Saya tengok mereka semua lebih memerlukan. Jadi saya pun diam-diam sahaja..”sambung Hidayah. Budak ini memang selalu begini! Sering sahaja beralah dalam semua situasi. Hatinya terlalu lembut.

“Kemudian… ”Hidayah menyambung.

“Emak cikgu panggil. Emak cikgu tanya saya dah ambil ke belum. Lepas tu emak cikgu bagi semua ni!” Hidayah menghabiskan ceritanya dengan gembira. Saya membalas dengan senyuman. Saya tahu emak seorang yang sangat cekap matanya. Pasti emak sudah lama perasan tentang Hidayah yang tidak bertapau kerana sibuk menapau untuk sahabat-sahabat lain.

Jam 12 malam/pagi. Saya duduk di sofa yang masih belum disusun ke tempat asal bersama emak. Kami melihat gambar-gambar yang telah diambil sambil bersembang. Post mortem program. Emak memberitahu bahawa emak sangat gembira sebab majlis itu terasa keberkatannya. Emak sempat menghantar tapau untuk beberapa orang sahabatnya dan jiran sebelah rumah kami. Semoga Allah melimpahkan hidayah-Nya kepada kami semua… Alhamdulillah, ramai memuji makanan yang dijamu itu sedap. Tetapi mereka tidak tahu bahawa sepanjang memasak itu, kami berdua (emak dan saya) berzikir dan berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada yang menjamah makanan ini. Subhanallah Alhamdulillah. Lailahaillallah Allahuakbar!

Catatan ini saya titipkan buat pembaca yang dikasihi Allah. Semoga perkongsian ini dapat membuka mata hati kita untuk melihat ke dalam diri insan di sekeliling kita. Tiada manusia yang sempurna. Namun di sebalik ketidak sempurnaan itulah hadirnya insan lain yang melengkapi kelompongan yang ada. Ada orang yang malu dilahirkan miskin dan cacat. Namun ada orang yang kaya dan sihat yang meminjam semangat si miskin dan cacat untuk meneruskan hidup. Bukankah Allah menciptakan semua itu ada tujuan tersurat dan tersirat?

"Ya Rabbana, tidaklah Engkau Menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka" [Ali-Imran :191]

Khamis, 18 Ogos 2011

♥ Alhamdulillah ♥ Iftar 1432 H

Murid : Kami tunggu kawan kami yg nak pergi rumah cikgu tapi rupa2nya kami dah tertinggal. Kami tunggu lama sampai dah nak pukul 7. Tiba2 datang seorang makcik dan hantarkan kami ke rumah cikgu. Kami tak berapa ingat jalan, jadi kami pusing2 cari rumah cikgu.
Saya : Kenapa tak telefon saya ?
Murid : Tak ada nombor cikgu.
Saya : Siapa makcik yg hantar kamu tu?
Murid : Kami pun tak kenal. Kami ajak makcik tu masuk tapi dia kata dah lambat ni dan dia terus pergi.

♥ Alhamdulillah ♥

Alhamdulillah... Terima kasih kpd anak2 murid krn sudi dtg rumah cikgu, sudi meluangkan masa & sudi memeriahkan majlis... Terima kasih kpd ibu bapa yg sudi menghantar & mengambil anak2 mereka. Terima kasih kpd anak2 yg bawa mcm2. Siapa yg tertinggal tupperware, jgn lupa tuntut dari cikgu. Alhamdulillah walaupun hujan lebat, lebih 100 org juga org yg dpt hadir. Alhamdulillah... ♥ Semoga test Khamis ni dpt yg cemerlang.. Aamiin... ♥


























Junior penat mengalahkan tukang goreng ayam!

12 malam. Semua orang sudah balik. 

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....