Rabu, 22 Mei 2013

Aku redha Ya Allah...


Entah bila bermulanya rasa sakit ini. Seingat saya pada tahun 2009 lagi saya sudah merasainya. Pada tahun 2011, sakit ini hilang. Sesekali rasa sakit ini hadir dan kemudiannya menghilang. Saya mengabaikannya. Namun semenjak Syawal yang lepas, sakit ini semakin kuat. 

 Sakit apa? Sakit pinggang. Sakit ini menjalar ke bahagian peha dan ke bahagian tulang belakang. Saya mulai tidak betah duduk lama dan berbaring lama. Waktu tidur, saya akan meletakkan selimut tebal atau bantal di bawah pinggang. Untuk rukuk dan sujud ketika solat merupakan perjuangan yang besar! Saya rukuk dan sujud dengan gerakan yang perlahan dan agak kekok, seolah nenek tua yang sudah uzur. Barulah tahu betapa nikmatnya solat ketika sihat… 
Alhamdulillah adik lelaki saya ada di rumah. Apabila sakit ini menyerang, saya akan meminta bantuannya memandu untuk saya. Inshaallah 30 Oktober ini dia akan masuk ke IPT. Nampaknya saya perlu berdikari selepas ini. (Alhamdulillah ada lagi dua orang adik lelaki di rumah yang kebetulan baru bercuti semester.) 

Berikhtiar , berdoa dan bertawakal 

Saya berusaha menurunkan berat badan kerana saya sangkakan ianya adalah punca saya sakit pinggang. Saya berjoging dan mengamalkan diet yang sihat, Alhamdulillah hidup terasa lebih segar. Namun setelah 11kg hilang dalam masa 3 bulan, sakit pinggang semakin parah. Saya mencuba rawatan Islam di Darussyifa’.  

“Ustaz, saya rasa saya sakit pinggang sebab gemuk kot.” terang saya. 
Ustaz menjawab dengan lembut “Tak gemuk lah…” Hehe. 
Saya tersenyum memandang emak saya. Saya gemuklah ustaz! Ustaz bertanya sama ada saya sudah pergi check doktor. Err..belum, lepas ni inshaallah. 

 Ustaz jampikan air dan suruh saya minum dan mandi. Ustaz pesan baca doa sekian dan sekian. Hasil rawatan di Darussyifa’ ialah sakit pinggang masih tidak hilang. 

Saya pun pergilah bertemu pakar orthopedik di sebuah hospital swasta. Maka saya pun dapatlah pengalaman baru iaitu masuk bilik X-ray. Kali pertama X-ray ialah 2007, semasa nak masuk USM. Masa tu X-ray tulang rusuk je. Kali ni nak kena X-ray tulang belakang sampai ke tulang lumbar. Kelakar masa ni. 

Kakak yang incharge mesin tu beri arahan supaya saya buka semua pakaian dan pakai seluar dalam sahaja. Dia suruh pakai pakaian yang disediakan. Baju yang disediakan tu pendek sangat, paras pinggang! Saya terjumpa ada kain besar macam kain telekung lalu saya pakai di bahagian dalam seperti berkemban dan sarung baju X-ray di bahagian luar. Dah macam kimono, lebih tebal dari pakaian asal saya tadi (jubah). Haha. Agak-agak kakak tadi terkejut tak? Dengan muka selamba, saya keluar. Tudung saya sangkut belakang pintu sebab saya menjangkakan tiada lelaki dalam bilik x-ray tu. 

Semasa proses nak x-ray tu sangatlah azab. :’( Saya sangat sakit sebab kena baring. Apabila kakak tu pegang tulang saya, memang rasa macam nak menangis, tahan-tahan. Tiba-tiba nampak lelaki lalu lalang di sebalik cermin. Memang rasa nak menangis sebab malu, saya pusingkan kepala ke tempat lain dengan harapan dia tak nampak muka saya. Saya tahulah lelaki tu pun tak ingin nak pandang saya, tapi malu!! Kakak tu mungkin terperasan saya macam nak menangis jadi dia suruh saya rehat sekejap. Mungkin dia ingat sebab saya sakit.

 “Baring-baring macam asal.”kata kakak tu. Kemudian kakak tu menghilang. Puaslah saya berbaring sorang-sorang sambil memandang mesin empat segi atas badan saya. Kali pertama tengok benda aneh ni, jakun. Hehe. 

Apabila kakak tu datang semula, dia berikan saya fail dan suruh saya salin baju dan segera naik terus ke bilik doktor pakar. Saya pun dengan gembiranya bangun. “Terima kasih kak!”

Sebaik keluar dari bilik salinan, ada lelaki di atas tempat x-ray. Saya cuak dan terus meluru ke pintu keluar. Malu! “Mana gambar?!” jerit kakak yang tadi. Eh, mana gambar? Tercicir dalam bilik salinan. Rileks la, kenapa la yang jadi pemalu semacam ni macam tak pernah tengok lelaki!! Geram pada diri sendiri. 

Misteri Yang Terlerai

Doktor pakar itu meletakkan pembaris di gambar x-ray.

 “Tulang belakang ni sepatutnya tegak, tapi adik punya bengkok.. sebab adik cuba menahan sakit jadi ianya bagi pressure pada tulang tu.” 

Oo.. 

 “Tulang lumbar ni sepatutnya melengkung tapi adik punya hampir tegak sebab adik cuba menahan sakit,” terangnya lagi. 

Hm.. bengkok salah, tegak pun salah… Hm…. 

“Nampak lubang-lubang ni? Ia sepatutnya sama besar. Tetapi adik punya lubangnya tak sama besar. Melalui lubang-lubang ni, saraf-saraf keluar. Apabila lubang ni kecil, big possibility disebabkan oleh ‘slip disk’ yang menyebabkan saraf-saraf ni terhimpit. Maka rasa sakit..” 

Bla..bla.. macam-macam lagi doktor tu terangkan. Wajah saya yang ceria menjadi serius. Doktor menulis pada sekeping kertas ‘Lumbar Spondylosis with Prolapsed Invertebral Disc L5/s1’.

“Kenapa muka macam takut? Its okay…”doktor memujuk. 
“Saya nak cuba memahamkan apa yang doktor cakap,”jawab saya. 

Doktor mengeluarkan model tulang dan menerangkan saya sampai faham. Doktor kata saya kena buat ujian lain untuk lihat ‘slip disk’ dengan lebih jelas pada temu janji akan datang. 

“I’m happy you can still walk. Saya tak pasti sama ada ini ada kaitan dengan occupation adik. Saya ada client lain yang umur lebih kurang adik, 20an. Dia juga alami perkara yang sama tapi dia dah tak boleh berjalan, dia naik kerusi roda. Dia juga seorang cikgu.” 
Kesiannya cikgu tu! :’( 

Doktor tak bagi saya joging lagi. Saya merayu untuk berjoging sebab saya masih berusaha menurunkan berat badan dan saya tak rasa sakit pinggang semasa berjoging. 

“No.. No, you can’t! Itu akan bagi pressure yang sangat banyak. Sekarang ni adik jangan buat senaman atau kerja yang berat. Nanti saya bagi tahu apa senaman yang boleh dibuat. Adik kena buat senaman untuk otot di bahagian perut supaya ia dapat menyokong belakang adik.” 

Sudah saya duga, nikmat berjoging ini akan hilang… Tak apalah, its okay. Allah dah bagi saya peluang berjoging dengan sangat gembira sebelum ni… Sebelum balik saya dikehendaki buat temu janji untuk fisioterapi. Saya perlu lakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu! Tiba-tiba teringat pula pada adik sepupu saya yang sedang mengambil diploma fisioterapi di UiTM. Alhamdulillah misteri sudah terjawab, rupa-rupanya tulang saya istimewa. 

 Perjuangan Yang Belum Selesai

 Semasa dalam perjalanan balik, saya berfikir-fikir mengenai kata-kata doktor tadi. Saya mengimbas gambar X-ray tadi. Bagaimana boleh slip disk itu hendak dibetulkan semula? Teringat doktor ada kata tadi yang pembedahan merupakan jalan terakhir jika sakit masih tidak berkurangan selepas sesi fisioterapi. 

“Boleh baik ke slip disk ni?” tiba-tiba soalan terkeluar dari mulut saya. Emak diam. 
Kemudian emak berkata “Emak terfikir, macam manalah kakak ni nak berkahwin dalam keadaan macam ni, tak boleh berdiri lama, tak boleh buat kerja berat dan tak boleh memandu,”. 
“Jujur je lah dengan ‘dia’ mak. Jika dia menolak, tak mengapa… ” Dalam hati sangat sayu! :’( Andai tiada cinta manusia buatku, cukuplah cinta Allah buatku.. 
 Saya cuba mengembirakan suasana yang mulai suram. “Maknanya Allah nak bagi kakak driver & maid seumur hidup!” saya bergurau. 
Emak ketawa,“Karang dia tak jadi kerja lain, dia asyik jadi driver dan maid kakak, kakak kena bayar gaji dia pula.” Emak bergurau. 
“Err… ” No komen. 

Sakitnya pinggang kerana naik kereta. Hujan lebat. Traffic jam. Berzikir-zikir di sepanjang perjalanan, berzikir supaya dapat melupakan kesakitan yang sangat-sangat pedih. Teringat malam ini ada kelas tuisyen. Segera saya sms kepada mereka untuk membatalkan kelas malam ini. (Tercicir satu nombor students semasa send sms to many. I’m so sorry…) 

Kami singgah bersolat maghrib di R&R. Emak berhenti di gerai buku agama. Saya ternampak sebuah buku ‘Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Nasihat Luqman al-Hakim’. Saya membelinya!


Di dalam kereta, emak bertanya “Buku tu untuk jadi anak genius atau ibu bapa genius?” “Ibu bapa genius…”jawab saya. Hati tiba-tiba sayu. Emak diam. Ya Allah, andai aku tidak berpeluang mempunyai anak-anak, aku redha… Aku masih mempunyai anak-anak murid! 
“Kakak kan ada ramai anak-anak murid, buku ni untuk mereka,”saya menambah. Emak diam. Saya pun diam. Hujan masih lebat.
Air Mata Yang Tumpah 
Sebelum pergi ke hospital siang tadi, saya telah memandu sendirian ke kedai gambar. Emak meminta saya sekeping gambar untuk diserahkan kepada seseorang. Sebaik pulang dari kedai gambar, saya terus ke masjid untuk bersolat zohor. Kemudian emak mengambil saya di masjid dan membawa saya ke hospital. Jadi emak terpaksa menghantar saya ke kereta saya di masjid tadi dan kami pulang ke rumah berasingan. Saya memandu sendirian dan singgah sebentar di rumah tuisyen untuk memberi kucing-kucing makan dan bermain dengan mereka. Azan isyak berkumandang, segera saya mengambil wudhuk dan bersolat. 
Allahuakbar. Serta merta air mata saya mengalir. Sepanjang hari saya menahan gelora di dalam dada, kini semuanya terlerai di hadapan-Nya. Saya menangis sepuasnya bermula daripada takbiratulihram sehinggalah salam. Setiap rukuk dan sujud begitu sakit. Saya menangis bukan kerana sakit yang ditanggung tetapi kerana saya khuatir saya tidak akan mampu lagi untuk rukuk dan sujud di masa depan. Saya tidak marah dan saya tidak menyesali takdir ini.. Saya redha dengan sakit ini.. Saya cuma teringatkan dosa-dosa silam yang begitu banyak. Kini saya benar-benar berharap Allah mengampuni dosa-dosa itu semua! Andai dengan sakit ini dapat mendekatkan saya kepada Allah, saya rela! 

Selepas solat, saya menatap kad temu janji fisioterapi. Di samping kad itu saya selitkan gambar yang baru saya ambil siang tadi. Siapakah insan yang emak mahu berikan gambar ini? Emak meminta saya lampirkan biodata bersama gambar ini. Apa yang saya mahu tuliskan? …. …. Saya perlu jujur. Tulis yang sebenarnya. Saya akan maklumkan penyakit saya bersama dengan gambar ini. Ya, saya perlu jujur. Ya Allah, aku serahkan pergantunganku hanya kepada-Mu.. 

p/s : Allah sayang saya, saya tahu!

Artikel ini bertarikh 19 Oktober 2011 saya publish kali kedua supaya saya dapat bermuhasabah diri, sedarkan diri semula supaya jangan lalai. Semoga sahabat-sahabat juga turut termuhasabah... Banyakkan menangis di hadapan Allah supaya Allah mengasihani kita...

p/s/s : Sahabat-sahabat boleh lap air mata dan senyum sekarang dengan membaca artikel di sini (2013)  :)

Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....