Isnin, 27 Mei 2013

Belum jodoh



Gerimis turun sepanjang petang. Berhenti sekejap di waktu maghrib dan kembali turun ke bumi sepanjang malam. Dua orang gadis berdiri di bawah bumbung di koridor deretan kedai-kedai. Hajat di hati mahu lekas pulang tetapi belum sampai masanya, kenderaan yang mereka akan naiki masih belum kelihatan.
"Hm... Kawan-kawan kita seorang demi seorang akan menamatkan zaman bujang," gadis bertubuh kecil itu bersuara sambil merenung lopak-lopak air.
"Ya.. Minggu depan Fariza kan," Gadis yang menemaninya menjawab. Masing-masing kemudiannya membisu sambil mendengar irama titisan-titisan hujan yang menghentak-hentak bumbung zink koridor.
"Semua orang sudah ke arah itu.... kecuali saya,"getus gadis yang memulakan perbualan tadi. Sahabatnya segera mengangkat muka memandang wajah temannya. Dia cuba membaca maksud tersirat di sebalik ayat sahabatnya. Dia sendiri bakal meninggalkan zaman bujangnya dalam masa beberapa bulan lagi. Dia mendongak ke langit yang gelap pekat untuk mencari idea. Malam ini tiada bintang, mungkin kerana awan-awan terlalu tebal.
"Perkahwinan bukanlah destinasi terakhir. Apakah destinasi terakhir kita? Syurga bukan?" perlahan dia menuturkan bicara supaya mudah difahami oleh temannya. Gadis di sebelahnya diam dan mengangguk. Ayat sabahatnya itu memang benar namun ianya memerlukan kekuatan untuk direalisasikan. Kekuatan itulah yang sedang dia tercari-cari. Dia sudah banyak kali berdoa supaya Allah menemukan jodohnya tetapi hingga kini doa itu seperti masih tergantung-gantung tanpa jawapan.
"Saya takut....Takut dengan masa depan yang tidak tahu bagaimana coraknya. Takut dengan cabaran yang tidak tahu ombaknya.. Takut dengan permainan yang tidak tahu rentaknya...Semua itu saya perlu lalui bersendirian." jujur sahabatnya meluahkan.
Teman seorang lagi berfikir... Hanya kalimah Allah yang mampu menjadi penawar hati yang sedang bersedih.     Tiada ungkapan motivasi yang mampu menandingi janji-janji Allah di dalam Quran. Quran adalah penawar segala penyakit hati. Mengingati Allah adalah sumber ketenangan abadi dan hakiki.
"Dalam Quran Allah kata orang beriman ini tidak akan berdukacita... dan tidak akan takut...."
Sebuah lori melintasi mereka berdua dan melanggar lopak air sehingga hampir memercik ke arah mereka.
"Dalam hidup ini, kita semua tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Kita tidak boleh lari dari takdir kita. Apa yang boleh kita buat adalah berdoa."
Mereka sama-sama membisu. Hujan sudah berhenti.
"Walaupun kita semua adalah kawan, tetapi kita akan melalui kehidupan yang berbeza.. dengan ujian yang berbeza.. Ketakutan itu tentu akan ada. Ujian yang akan mendukacitakan tetap akan singgah. Tetapi apabila kita cuba ingat kembali bahawa Allah telah pun bagi tahu ciri-ciri orang beriman tidak berdukacita dan tidak takut, maka kita berazam mahu menjadi orang beriman lalu kita melupakan dan menghilangkan perasaan sedih dan takut itu.. Kita berusaha untuk mengembirakan diri kita kerana kita sangat mahu menjadi orang beriman."

Dari jauh kelihatan kereta putih Kancil bergerak perlahan. Di dalam kereta itu ada seorang gadis lain bertubuh besar sedang memandu. Pemanduannya tersengguk-sengguk, maklumlah baru lulus lesen memandu. Suatu risiko menaiki kereta yang dipandu oleh pemandu baru lulus lesen, tetapi setiap manusia berhak mendapat peluang untuk belajar dan diberi kepercayaan. Ketika perjalanan seakan mencabar dan kesemua yang berada dalam kenderaan kerisauan, barulah masing-masing sentiasa berzikir dan fokus terhadap sekeliling. Seringkali apabila perjalanan begitu lancar dengan pemandu yang sudah profesional, maka kesemua yang berada dalam kenderaan selalunya akan mengelamun yang bukan-bukan dan apabila tiba-tiba dijemput ajal dalam keadaan yang tidak bersedia. Begitulah kehidupan ini, ujian yang datang itu bertujuan supaya kita sentiasa sedar apa destinasi kita dan supaya kita sentiasa bersedia untuk dijemput ajal.
Ingatlah kita akan pulang ke daerah sebenar, kampung halaman. Andai kita tidak mampu membina banglo di bumi, usah bersedih kerana kita masih ada peluang membina mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya sungai madu, sungai arak dan sungai susu.

1  
Surah AlBaqarah. Ayat 062.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani) dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

2  
Surah AlBaqarah. Ayat 277.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

3  
Surah AlMaa’idah. Ayat 069.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabiein dan orang-orang Nasrani sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

4  
Surah AlBaqarah. Ayat 112.
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

5  
Surah AlAn'aam. Ayat 048.
Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-Rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak akan berdukacita.

6  
Surah AlBaqarah. Ayat 274.
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

7  
Surah AJin. Ayat 013.
Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik) dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

8  
Surah AlMu’minun. Ayat 057.
Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka;

9  
Surah AlA’raaf. Ayat 049.
(Mereka bertanya pula kepada ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu dan kamu pula tidak akan berdukacita.

10  
Surah AlA’raaf. Ayat 035.
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-Rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....