Ahad, 1 Mac 2009

krisis ekonomi

PASARAN saham dunia yang tampak berkembang baik tiba-tiba mengalami keadaan turun naik akhir-akhir ini. Para pengamat dan penganalisis ekonomi mengaitkannya dengan hal yang ‘tidak beres’ di Amerika Syarikat, yang menampung sepertiga ekonomi dunia.
Selain sebab-sebab spekulasi, kejatuhan pasaran juga dikaitkan dengan teguran bekas ketua Bank Simpanan Federal Amerika (Fed), Alan Greenspan, bahawa Amerika di ambang kemelesetan.

Bagaimanapun, penggantinya, Ben Bernanke, membantah dengan hujah bahawa asas-asas ekonomi Amerika masih kukuh. Sejak itu, bursa pulih semula.
Pada bulan Februari ini lalu berlaku lagi kejatuhan pasaran saham, bermula di New York (NYSE), yang juga pasaran saham terbesar dunia. Ia ekoran daripada pendedahan mengenai bayaran perumahan yang tertunda kerana ramai pemilik rumah Amerika didapati tidak mampu. Difahamkan bayaran tertunda tersebut mencapai hampir AS$2 trilion.

Apakah benar ekonomi Amerika kian tenat?
Amerika kini memang menghadapi kurangan (defisit) dagangan yang besar dengan seluruh dunia. Sepanjang dua tahun, imbangan dagangan tersebut berada di paras negatif, iaitu AS$1.5 trilion. Pada tahun lalu, nilai eksport Amerika ialah AS$1.44 trilion, berbanding import AS$2.2 trilion, iaitu defisit AS$763.6 bilion.

Angka ini merupakan tambahan AS$46.9 bilion berbanding defisit pada 2005. Akibat kekurangan yang besar itu, Amerika telah menjual aset dan meminjam.
Kedudukan pelaburan antarabangsa bersih (NIIP) merupakan alat yang digunakan oleh Biro Analisis Ekonomi Amerika untuk menilai secara menyeluruh aset antarabangsa milik Amerika berbanding aset Amerika di tangan pihak asing.

Ternyata NIIP Amerika terus merosot. Antara 1986 dengan 1988, Amerika berubah menjadi negara pemiutang kepada negara penghutang. Sejak itu rekodnya tidak berubah, bahkan kian buruk, hujah Max Fraad Wolff, calon doktor falsafah Universiti Massachussets.
Amerika menikmati pendapatan bersih daripada aset asing yang besar. Oleh sebab itu, ia terlindung daripada kejatuhan nilai dolar dan kenaikan kadar faedah. Malah apabila dolar merosot, aset luar negara Amerika meningkat pula. Malah kejatuhan dolar menyebabkan tanggungan (hutang) Amerika merosot.

Import Amerika amat dikaitkan atau disepitkan dengan dolar Amerika. Bagaimanapun, eksport Amerika tidak pula demikian. Ertinya, rakan dagang Amerikalah yang lebih menanggung kesan daripada turun naik nilai dolar.

Menaikkan kadar faedah dan membiarkan kejatuhan dolar tidak begitu menjejas Amerika. Inilah yang menimbulkan keadaan tidak seimbang. Malah apa jua ramalan atau jangkaan ekonomi dunia sering tidak menepati sasaran.

Kini dolar mula susut nilainya. Dengan komitmen tentera Amerika di banyak bahagian dunia terutama Iraq dan Afghanistan, bayangkanlah tanggungannya. Defisit Amerika kini digantikan dengan pembelian bon perbendaharaannya oleh negara-negara yang mencatatkan lebihan dagangan yang besar, seperti China. Tidak hairanlah getaran kebimbangan bermula di bursa Shanghai.

Bagaimanapun, menurut para pengamat, selagi keuntungan aset seberang laut Amerika mengatasi aset asing yang dilaburkan di Amerika, keadaan belumlah tenat. Lagipun, tiga suku aset Amerika di luar negara bukan dalam nilai dolar. Ertinya, aset Amerika terus tumbuh sedangkan tanggungannya terus menguncup apabila dolarnya merosot.

Sejak dunia mengamalkan pertukaran yang terapung dan dolar menjadi tukaran utama, banyak modal ditanam atau dillaburdi Amerika. Di samping Amerika ‘licik dan pintar’ dalam promosi pelaburan dalam negerinya.

Terdapat beberapa penjelasan untuk menerangkan mengapakah aset Amerika di luar negara memberikan keuntungan besar. Antara lain, kedudukan istimewa Amerika sebagai penjamin kecairan dan pencetak mata wang sejagat. Jadi, Amerika boleh meminjam dengan kadar rendah tetapi memberi pinjaman dengan risiko rendah yang dikenakan pada hutangnya. Oleh hal yang demikian itu, Amerika semacam ‘banker’ kepada seluruh dunia. Penjelasan perinci boleh diperoleh daripada buku ‘From World Banker to World Venture Capitalist’ tulisan Piere-Olivier Gourinchas and Helene Rey.

Satu lagi penjelasan ialah Amerika merupakan pasaran terbesar dunia. Banyak syarikat asing beroperasi di Amerika untuk mendampingi pasaran ini. Selain sebab-sebab politik, firma asing menanam modal di Amerika untuk tujuan mendapatkan layanan istimewa dan memastikan kadar tukaran yang menguntungkan.

Bagaimanapun, tidak bermakna Amerika tidak akan karam. Dolar akan terus tertekan kerana pulangan negatif daripada asetnya, seperti dalam kes bayaran perumahan yang tertunda. Ia akan menjejas pemiutang asing dan menimbulkan risiko politik yang besar.
Hal ini menimbulkan persoalan besar kepada seluruh dunia - setakat mana dunia sanggup menawarkan ´subsidi´ kepada kuasa ekonomi ini. Sampai bila?

Sumber : Ihsan YADIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....