Selasa, 28 Ogos 2007

sekeping hati yang berpegang pada janji Ilahi


Buat yang disayangi : sebaik-baik perhiasan dunia~wanita solehah

‘Coretan Fisabilillah 3’

Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata abah dan emak “Kalau kakak ni betul-betul permata, dalam lumpur pun bercahaya.. kalau tahi ayam , atas meja pun busuk” Itulah kata-kata pembakar semangat yang sinis dan pedas dari kedua insan paling hampir dengan saya..-”Izinkan saya bercerita sedikit tentang emak saya, wanita solehah pelengkap hidup abah. Emak kini masuk 42 tahun, dari kacamata luaran fesyen emak tetap sama dari dulu hingga sekarang-purdah dan jubahnya. Ke mana dia pergi tidak kira tempat mahupun majlis yang gah , dia tetap dengan fesyennya. Reaksi orang? Ramai yang terkejut dan tidak kurang yang mengeji tetapi sebaik bertegur sapa dengan emak, tiba-tiba menjadi mesra dan selalunya akan terus bersembang seperti sudah lama kenal. Itulah emak saya, orangnya ramah dan sangat suka menolong orang. Kadang-kadang hinggakan adik-beradik saya memujuk supaya emak saya berhenti menolong apabila melihat dirinya sendiri susah. Tapi emak hatinya hanya senang bila melihat orang lain senang. Jadi biarpun dia susah, dia tidak kisah. Masalahnya kadang-kadang orang yang ditolong tu bukan saudara mara kami, bukan jiran tetangga kami tetapi anak terbiar yang bapanya penagih, abangnya pembunuh dan dirinya sudah tercemar.

Tiap-tiap hari pada pukul 4 pagi emak akan bangun untuk tahajud. Dia pasti akan menangis. Masa saya kecil dahulu saya sangat hairan. Saya sangka dia bersedih jadi saya turut menangis tanpa pengetahuannya. Kerana terlampau bimbang, saya melarangnya menangis. Emak menjawab ‘kakak, biarkan emak menangis dan mengadu di depan Allah kerana emak tak ada tempat lain untuk menangis dan mengadu. Biarkanlah, emak bahagia macam ni.’. saya lansung tidak faham apa maksudnya.. saya harap hari ini saya sudah faham apa maksud emak.

Emak tabah.. wanita paling tabah pernah saya temui. Emak pula kata nenek saya wanita paling tabah dia pernah temui. Ketika saya di sekolah menengah dahulu Allah pernah menguji emak hinggakan semua yang tahu terduduk menangis. Atuk, nenek, saudara mara termasuk kawan-kawan sekolah saya pun menangis. Saya tentulah tiap-tiap hari menangis hingga pergi jumpa kaunselor sekolah. Kaunselor tu pun menangis.. Ujiannya besar jadi saya tak perlu ceritakan apa ujiannya tetapi cukup membayangkan betapa beratnya ujian itu. Saya bertanya pada emak adakah dia menyesal? Dia menjawab ‘Allah itu cemburu.. Setelah Dia mencintai hambanya. Apabila hambanya berpaling Dia akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan yang dicintaiNya semula. Bersyukurlah..’ Setelah mendengar ayat itu saya tiba-tiba menjadi sangat gembira di sekolah hinggakan kawan-kawan saya turut menangis sebelum ini marahkan saya.

Emak pelajar cemerlang di sekolah dari segi akademik mahupun kepimpinan. Emak mendapat tawaran belajar di Amerika tetapi PakNgah melarang. Pak Ngah bimbang keselamatan emak. Emak anak yatim semenjak 12tahun. pak Ngahlah abang dan dialah juga ayah untuk emak. Akhirnya emak masuk ke asasi UM. Selepas berfikir panjang emak membuat keputusan untuk tidak bekerja sebaliknya menumpukan sepenuh masa pada keluarga. Kini apabila terserempak dengan kawan-kawan lama yang sudah menjadi doktor, pensyarah dan pelbagai kerjaya hebat.. emak membuatkan mereka terkejut. Bukan mereka sahaja, orang-orang kampung dari dulu lagi berkata-kata tentang betapa sia-sianya belajar susah-susah tapi akhirnya terperap di rumah. Aku bertanya pada emak mengapa dia tidak memilih untuk bekerja? Emak menjawab ‘Kalau di luar emak ialah seorang pemimpin, tetapi di dalam rumah ini emak melahirkan 5 org pemimpin.’

Ramai bertanya tentang kisah ‘purdah’ emak. Semenjak dari darjah 2 saya telah mengahafal jawapan kepada soalan yang akan ditanya oleh kawan-kawan sekolah ‘Kenapa mak kamu pakai macam tu?’ Jawapan saya : Mak nak elak fitnah. Secara jujurnya saya pun tak faham waktu tu. Tapi kawan-kawan saya berpuas hati dgn jawapan tu walaupun saya tahu mereka pun tak faham. Saya hanya faham setelah saya sendiri faham mengapa saya wajib bertudung. Itupun ketika di sekolah menengah setelah dipersoal tentang akidah saya. saya bersyukur kerana Allah menghantar manusia-manusia istimewa yang membuatkan saya mengkaji dan meneliti tujuan hidup, erti bahagia dan nilai insan sepanjang zaman persekolahan saya. Meskipun kehadiran mereka menyebabkan saya sakit zahir dan batin namun kemudian segalanya terubat dan meleraikan segala simpulan persoalan yang cukup bermakna. Kembali kepada isu purdah emak saya, emak membuat keputusan untuk memakai purdah setelah berfikir panjang. Dia akhirnya meluruskan niat dan bertekad. Kesannya setelah itu tiada lelaki ajnabi pernah melihat wajah emak termasuk abah sendiri sehingga sah dinikahkan. Bukan tidak mahu tengok wajah ketika bertunang tetapi tidak diizinkanNya. Akhirnya mak dan abah redha. Bagi saya bila kita berniat keranaNya, dia akan memelihara kita. Bukankah Dia sebaik-baik Pemelihara? Ada saudara mara sebelah emak yang marah dan memerli emak. “Oh nak redha jelah ke? Kalau cacat pun redha jugalah ye?” Emak jawab “Kalau dah itu jodohnya, kalau dah sah itu suaminya kenalah taat. Tak kiralah capik ke, bisu ke atau apa sekalipun...”. Emak cukup jelas dengan prinsipnya. Dia yakin dan berpegang teguh dengan janji Allah.. Alhamdulillah, perkahwinan ni berkat.. belanjanya sedikit dan kebanyakkan pihak yang terlibat semuanya mendapat faedah. (hantaran emak cuma RM 1000, nikah di masjid.. kata emak terpulang kepada pihak lelaki hantarnnya.. permudahkan agar berkat..) Katering yang ditempah ni pun ada kisahnya.. restorennya terbakar jadi mereka guna perkhidmatannya untuk meringankan beban empunya restoren.. makan dalam dulang.. ikut sunnah..

Allah Maha Kaya.. Rezeki Dia melimpah ruah. Keluarga kami hidup senang dari hari ke hari. Tetapi seolah-olah kesenangan itu cuma dinikmati oleh kami adik beradik. Emak pula tetap sama seperti dulu. Saya tidak ingat bila dia membeli baju mahal seperti yang sepatutnya dia mampu kerana baju-baju saya selalunya mencecah ratusan ringgit. Emak pula kata, emak tak perlu semua ni, nanti bila mak mati emak tak mahu bawa apa-apapun. Semua ni abah punya dan selebihnya hak anak-anak. Pernah juga emak kata yang dia tak mahu kerja supaya dia tak akan tinggalkan apa-apa di dunia ni selain anak-anak dan amal jariah dia. Dia juga kata abah pula akan hanya tinggalkan hak-hak anak-anak sahaja. Jadi bila mereka mati, kami jangan mengharapkan harta mereka. Andai kami nak hidup senang berusahalah sendiri.

Solehahnya emak saya kerana dia berusaha sungguh2 meletakkan abah di tempat yang tinggi. Saya tidak pernah melihat mereka bergaduh seperti yang biasa dalam TV. Walaupun banyak kali nampak kelompongan di sesebelah pihak, namun masing-masing akan mainkan peranan untuk saling menutupnya bagi menyelamatkan keadaan. Kadang-kadang saya yang banyak bertanya, mempertikaikan tentang peranan dan tanggungjawab suami isteri mereka.. terutama bila semakin matang ni.. dan jawapan yg saya dpt dr emak: Emak beritahu abah, andai ana tak layak jadi isteri dan ibu yang solehah, lepaskan ana supaya ana dapat jadi hamba yang solehah. Ugh.. saya menggigil dengar kata-kata tu.. Tolonglah Tuhan, saya tak sanggup melihat mereka berpisah kerana yang saya nampak abah sebenarnya yang akan kehilangan nanti.

Sabda Nabi saw: ada 4 perkara termasuk kebahagiaan iaitu isteri solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang menyenangkan.

Saya SMS hadis di atas kpd abah tidak lama dahulu dan memberitahu dia bahawa rasanya dia miliki kesemuanya. Saya beritahu dia bahawa saya tumpang bahagia. Abah kata ucapan itu mesti disertai rasa syukur kerana manusia tak akan pernah puas.

Ya Allah.. Aku sayang ibuku.. Aku sayang bapaku.. Engkaulah sebaik2 penyayang.. Engkau sayangilah mereka.. Engkau pilihlah mereka untuk Engkau cintai.. Berilah kemanisan hidup di dunia akhirat kepada mereka. Tempatkanlah kami bersama-sama orang-orang soleh di Hari Hisab. Satukanlah kami di syurga Engkau di darjat yang tertinggi di sisi Engkau.. Hanya kepada Engkau tempat kami menadah tangan memohon belas kasihan dan harapan.. Perkenankanlah Ya Rahim…

Kaum Hawa merupakan insan istimewa yang diciptakan Allah dalam memakmurkan kehidupan di muka bumi.Islam memuliakan wanita dan menghargai wanita sebagai manusia yang terhormat.Sebagaimana kaum lelaki,wanita juga diberi hak-hak kemanusiaan.Di antara kemuliaan dan kelebihan wanita sebagaimana yang dinukilkan dalam hadis-hadis dan dijelaskan dalam kitab-kitab ialah:

  1. Seorang wanita yang solehah lebih baik dari seorang wali Allah
  2. Wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah rezekinya
  3. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir dapat pahala seperti membersihkan Baitullah
  4. Wanita yang solehah lebih baik dari 70 orang lelaki yang soleh
  5. Allah akan memberkati rezeki apabila wanita memasak dengan berzikir
  6. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri melayannya dengan baik maka si isteri memperolehi pahala jihad
  7. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah Yang Maha Indah di akhirat nanti tetapi bagi Allah sendiri akan datang untuk berjumpa dengan wanita yang memelihara auratnya dengan istiqamah
  8. Doa wanita lebih makbul dari lelaki terutama doa ibu terhadap anaknya kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki.Ketika ditanya kepada Rasulullah saw akan hal tersebut, baginda menjawab :

“Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

  1. Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah swt dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
  2. Barangsiapa yang membawa hadiah(barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahala seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah ia memerdekakan anak Nabi Ismail as.
  3. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah saw) di dalam syurga.
  4. Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara pereempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa dan tanggungjawab , maka baginya adalah syurga.
  5. Daripada Aisyah ra. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalangnya dari api neraka.
  6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu
  7. Apabila seorang anak dipanggil oleh ibu bapanya pada masa yang sama, dia dituntut menjawab panggilan ibunya dahulu
  8. Wanita yang taat akan suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga buatnya. Masuklah dari mana-mana pintu yang ia kehendaki tanpa hisab.
  9. Wanita yang taat suaminya , semua ikan di laut,burung di udara, malaikat di langit,matahari dan bulan , beristigfar baginya selama mana dia taat akan suaminya dan direlakannya(walinya)(serta menjaga sembahyang dan puasanya).
  10. Aisyah ra berkata : “Aku bertanya kepada Rasulullah saw, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, “Suaminya,”. ”Siapa pula berhak terhadap lelaki?”Jawab Rasulullah saw, “ibunya.”
  11. Pperempuan apabila sembahyang lima waktu,puasa bulan ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.
  12. Tap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah swt memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
  13. Apabila seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristigfarlah para malaikat untuknya.Allah swt mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
  14. Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin,maka Allah swt mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah
  15. Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan anak yang baru lahir dari perut ibunya.
  16. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susu diberi satu kebajikan.
  17. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah swt memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

# Ya Allah, jadikanlah aku, adikku dan sahabat2ku sebaik-baik perhiasan dunia ~ wanita solehah. Ya Allah, izinkanlah kami menjadi sayap kiri dalam menegakkan kalimah tauhidMu di dunia ini. Ya Allah, bantulah kami untuk mengingatiMu, mensyukuriMu dan sebaik-baik ibadah kepadaMu.. Perkenankanlah Ya Rahim…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....