Memaparkan catatan dengan label syariah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label syariah. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Ogos 2009

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir



Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."
Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

UZAR menjawab


Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

* DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

* DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

* DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

* DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

* DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

* DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

rujukan : www.zaharuddin.net

Isnin, 27 April 2009

mualaf :Keluarga berhak tahu keputusan peluk Islam?


Disiarkan dalam Berita Harian 31 Julai 08

Soalan

Saya adalah seorang India beragama Hindu. Sejak kecil saya bergaul dengan orang Islam dan terarik dengan agama Islam walaupun keluarga saya penganut Hindu. Saya berhasrat memeluk Islam tetapi khuatir keluarga saya akan menentangnya. Saya tidak mahu kehilangan keluarga saya apabila memberitahu mereka. Saya dengar pada masa ini orang yang mahu masuk Islam perlu beritahu keluarga masing-masing. Saya seorang eksekutif, masih belum berkahwin dan sebenarnya sudah pun mengamalkan ajaran Islam seperti sembahyang dan puasa secara sembunyi-sembunyi. Saya tidak mahu keluarga saya membenci saya. Sekiranya saya memberitahu keluarga, tentulah keluarga saya akan menghalang hasrat ini dan memujuk saya kembali ke agama asal.
Selvarajah
Kuala Lumpur


Jawapan:


Alhamdulillah, Allah memberikan nur hidayah kepada saudara. Saya mendoakan Allah memberi kekuatan kepada saudara di dalam kehidupan beragama saudara. Islam adalah satu cara kehidupan yang melampaui batasan etnik, kaum dan juga bangsa.


Orang Islam adalah bersaudara walaupun dari kalangan bangsa yang berlainan. Kerajaan Persekutuan dilaporkan berhasrat memperkenalkan peraturan baru mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam supaya memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung dengan keputusan mereka.


Hasrat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan perlu bagi mengelak berbangkit masalah berhubung dengan taraf dan hak anak individu yang berkenaan serta kesulitan lain selepas mereka meninggal dunia. Hasrat Kerajaan Persekutuan ini mendapat reaksi bercampur dari kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, ahli agama dan juga ahli politik.


Sebahagian menyokong dan sebahagian yang lain pula tidak bersetuju dengan cadangan tesebut. NGO Islam arus perdana membantah peraturan baru ini jika dilaksanakan begitu juga beberapa orang Mufti seperti Datuk Seri Harussani Zakaria (Mufti Perak) dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Mufti Perlis).


Secara idealnya, adalah suatu yang baik memaklumkan keputusan memeluk Islam kerana ia merupakan anjakan pradigma yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mualaf itu. Namun begitu jika dikaji dari aspek praktikal dan keselamatan sama ada perkara sedemikian wajar dikenakan ke atas saudara baru ini.


Sebagai seorang mualaf yang baru berjinak dengan agama Islam, pegangan agama kebanyakan mereka tentulah masih belum utuh atau mantap lagi. Ia masih mudah digoyah oleh pelbagai faktor. Umpamanya keluarga dan rakan. Memang kita sering mendengar daripada saudara baru ini, apabila keluarga mengetahui mereka memeluk Islam, mereka akan memujuk kembali ke agama asal. Ada juga dilaporkan keluarga ini mengancam untuk membunuh diri sekiranya mereka meneruskan hasrat memasuki persaudaraan Islam ini.

Ini menimbulkan dilema di kalangan saudara baru. Saya memang bersetuju pemelukan Islam seseorang saudara baru adalah suatu perkara besar dan membawa kesan yang berkekalan. Oleh yang demikian memang perlu seseorang yang memeluk Islam itu memaklumkan kepada keluarga mereka yang masih belum Islam, tetapi biarlah mualaf itu sendiri yang memilih cara dan masa bila mereka perlu berbuat sedemikian kerana merekalah yang benar-benar tahu isi hati dan reaksi keluarga mereka.


Undang-undang tidak harus mencampuri hal berkenaan apatah lagi sekiranya pemakluman berkenaan menjadi prasyarat untuk memeluk Islam. Sudah tentu dalam keadaan ini dakwah Islam menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan.


Berbalik kepada soalan saudara tadi, buat masa ini syarat itu masih lagi belum dilaksanakan kerana mendapat bantahan daripada NGO Islam arus perdana. Oleh yang demikian, saudara tidak wajib memaklumkan pemelukan Islam saudara kepada keluarga.


Walaupun saudara memeluk agama Islam hubungan kekeluargaan dengan keluarga saudara tidak putus malah mereka masih mempunyai hak tertentu terhadap saudara walaupun berlainan agama. Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan atas dasar berlainan agama. Tanggungjawab saudara terhadap keluarga khususnya ibu bapa masih wajib diteruskan.


Kajilah Islam daripada kitab yang muktabar dan dibimbing oleh guru yang mursyid. Apabila saudara fikirkan masanya sesuai bagi memberitahu pemelukan Islam saudara, maka maklumkanlah kepada mereka dengan cara yang paling berhemah.


Berdoalah agar kelurga saudara juga akan diberikan nur hidayah oleh Allah s.w.t. pada suatu hari nanti. Saudara juga boleh mendapat bimbingan daripada NGO Islam yang memfokuskan khidmat kepada mualaf seperti Perkim, Persatuan India Muslim, Persatuan Cina Muslim (MACMA), Persatuan Al Hidayah dan beberapa NGO lagi yang boleh membantu saudara di dalam mendalami agama Islam serta menasihati saudara bagaimana menangani masalah keluarga saudara dengan cara yang terbaik. Saya mendoakan saudara tetap di dalam Islam dan Iman. Islam adalah satu cara hidup yang terbaik yang telah digariskan oleh Allah s.w.t.


Jawapan ini disediakan oleh Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

hak-hak wanita dalam islam: Satu Sorotan Terhadap Perundangan Keluarga Islam di Malaysia


Oleh :

Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim

Jabatan Syariah & Undang-Undang

Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya

Antara peranan utama pemerintah ialah menekankan betapa pentingnya pemeliharaan terhadap hak golongan minoriti dan wanita. Pada pandangan penulis, golongan wanita di Malaysia telah mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki samada dari segi peluang pekerjaan,dalam bidang ekonomi,pemilikan harta,hak bersuara dan sebagainya.


Pendek kata,golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap “istimewa” berbanding golongan wanita di negara-negara Islam lain. Golongan wanita di Malaysia tidak mendapat diskriminasi dan mendapat hak yang sama dengan golongan masyarakat yang lain.Malah kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa menjelang 2020, 30 peratus daripada pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita.Kerajaan juga telah menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di Malaysia.


Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa :

"Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang“.


Jelas, Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama,bangsa dan jantina seseorang.Di sudut Islam, martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah.Tetapi perlu diingat bahawa Islam tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan.Apa yang penting Islam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam.


Di sini,penulis akan menyatakan antara petikan Al-Quran dan Hadith yang berkaitan dengan wanita.

Dalam Surah Ali-Imran ayat 195, Allah berfirman yang bermaksud: …” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu,sama ada lelaki atau perempuan,(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain”…


Begitu juga dalam Hadith,Rasullulah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya, dan akan ditanya tentang pimpinannya”.


Berdasarkan ayat Al-Quran dan Hadith tersebut,jelas menunjukkan bahawa Islam memartabatkan kaum wanita.Islam tidak membezakan mereka dengan kaum lelaki khususnya dalam perkara yang melibatkan ibadat.Mereka masing-masing mendapat pahala disisi Allah mengikut amalan masing-masing.


Penulisan ini akan mengungkaikan hak wanita yang melibatkan hak mereka di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang terlaksana di Malaysia [Rujukan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984].


Di Malaysia,hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas di dalam Undang -undang Keluarga Islam setiap negeri.Tujuan perundangan ini diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya mereka mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas.Disamping itu,ia juga bertujuan untuk membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan Hukum Syarak.


Hak Untuk Berkahwin

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [selepas ini disebut AUKI 1984], hak seseorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu:

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu“.

Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi pasangan pengantin berkahwin pada umur yang muda.Namun ia bertujuan untuk memastikan setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan.Jelas,dengan peruntukkan ini,mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes perceraian dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.


Hak Terhadap Mas Kahwin

Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar terhadap masa akad nikah dijalankan,bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan.Jika suami masih berhutang mas kahwin terhadap bekas isterinya,dia boleh mengemukakan aduan ke Mahkamah untuk mendapatkan jumlah mas kahwin yang masih terhutang.


Hak Dalam Poligami

Dalam AUKI 1984,telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat perlindungan daripada suami yang berpoligami.Dalam konteks ini,Akta ini telah menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah berbuat demikian.Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih didalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.


Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi,maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.Selain itu,Mahkamah juga perlu berpuas hati tentang lima perkara sebelum kebenaran diberikan iaitu :


a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandang kepada,hal-hal keadaan yang berikut,iaitu,kemandulan,keuzuran jasmani,tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan,sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung,sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak,semua isteri dan orang tanggungannya,termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak;

d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;dan

Peruntukan tentang poligami dalam Undang-Undang Keluarga Islam jelas memberi satu bentuk keadilan dan segala perlindungan kepada kaum wanita di mana ia memberi segala hak dan kepentingan isteri yang sedia ada terjamin dan tidak tertindas.Contohnya,isteri yang sedia ada akan diserahkan satu salinan permohonan dan akuan berkanun bersama dengan saman (untuk hadir ke Mahkamah) kepada mereka sebagai makluman awal sebelum permohonan poligami dibuat.Semua peruntukkan ini dibuat bukanlah bertujuan untuk menghapuskan terus poligami yang dibenarkan oleh Islam tetapi ianya diadakan agar tujuan poligami sebenar tidak disalahgunakan dan untuk mengelakkan diskriminasi terhadap wanita.


Hak-Hak Lain

a) Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’ atau tebus talaq bagi membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah diputuskan oleh Mahkamah sepertimana diperuntukkan dalam subseksyen 49(1):

“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri,tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq,Mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu,mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tak boleh diruju’kan”


b) Hak untuk mendapatkan perceraian di bawah takliq atau janji sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 50(1):

“Seseorang perempuan yang bersuami boleh,jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas berkahwin,memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku”


c) Hak untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika terdapat satu atau lebih daripada alasan-alasan munasabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 52.


d) Hak terhadap harta sepencarian sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 58(1):

“Mahkamah adalah mempunyai kuasa,apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian,memerintah suapaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu”


e) Hak terhadap nafkah eddah di mana seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah eddah yang diberi oleh bekas suaminya sepanjang tempoh eddah.Dalam seksyen 59(1) menyatakan:

“Tertakluk kepada hukum syarak,Mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”


f) Hak untuk mendapatkan tempat tinggal sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 71(1):

Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri”


g) Hak keutamaan dalam hadhanah bagi menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut seperti dalam seksyen 81(1):

” Tertakluk kepada seksyen 82,ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan”


Secara ringkasnya,ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu kelebihan dan menjaga kedudukan mereka sebagai seorang isteri dalam perkahwinan.Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam,diharapkan bahawa kaum wanita dapat berfikir bijak dan dapat menentukan hak-hak mereka supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin.


Sesungguhnya Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah.Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi segala hak kepada wanita,mereka perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan mereka sebagai seorang wanita.Walau apapun hak yang cuba ditegakkan oleh mereka atas alasan hak asasi,ianya tidak boleh sama sekali melanggar Hukum Syarak yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....