Jumaat, 11 Februari 2011

Apakah Makna Sahabat ?

Semua manusia memerlukan sahabat. Tipulah jika ada manusia yang boleh hidup bersendirian tanpa memerlukan sahabat. Seorang isteri adalah sahabat kepada suaminya. Seorang guru adalah sahabat kepada muridnya. Seorang anak adalah sahabat kepada ibu bapanya. Sahabat umpama cermin kepada diri seseorang. Seorang yang penyayang akan disayangi sahabat-sahabatnya. Seorang yang buruk akan dijauhi oleh sahabat-sahabatnya.

Racun dan Penawar.
Ada sahabat yang umpama racun dalam hidup kita. Berada di sisi sahabat ini akan menyakitkan kita. Semakin lama bersama semakin menyakitkan sehinggalah akhirnya kita akan mati.
Ada sahabat yang umpama penawar dalam hidup kita. Berada di sisi sahabat ini akan menyembuhkan luka-luka di hati. Banyak juga kesan parut duka yang menghilang kesan daripada penawar hadirnya seorang sahabat. Ramai yang sudah hampir membunuh diri kembali berjuang untuk hidup sebaik mendapat sahabat yang baik.

Permata dan Kaca.
Sukarnya mencari sahabat yang baik ibarat mencari permata dicelahan kaca. Sungguh sukar hendak dibezakan antara kerlipan kaca dan kerlipan permata. Ada sahabat yang hilangnya tidak berpengganti. Pengorbanannya setulus jiwa tanpa mengharapkan balasan. Ada sahabat yang hadirnya tidak menambah baik dan perginya juga tidak meluakkan apa-apa. Perginya tidak dikenang, hilangnya tidak dirindui dan kembalinya tidak dinanti. Mengapa begini? Kerana manusia seperti dirinya mudah untuk dijumpai di dunia ini. Kita hanya akan mengenang manusia yang sudi bekorban secara luar biasa kerana orang seperti dirinya terlalu sukar dijumpai di dunia ini.

Gunting dalam Lipatan.
Manusia ini sukar diduga. Berubah-ubah mengikut musim. Sekejap kata sayang, sekejap kata benci. Sekejap kata rindu, sekejap kata jemu. Meskipun sudah tidur sebantal, belum pasti mampu mengenali hati budi. Adakalanya orang yang paling dipercayai itulah orang yang paling mengecewakan. Banyak perkara yang tidak disangka ada manusia sanggup lakukan, tetapi dia pula melakukannya. Ramai manusia yang begitu mudah mengucap maaf dan mengulangi kesalahan seolah ucapan maaf itu layak di letak di tapak kaki.

Bekorban Sampai Mati.
Saya membaca kisah persahabatan Abu Bakar r.a dengan Rasulullah s.a.w. Sungguh mengkagumkan pengorbanan Abu Bakar r.a yang sanggup menahan bisa sehingga kejang anggota badannya akibat dipatuk ular ketika meriba kepala Rasulullah saw. Abu Bakar tidak sanggup membangunkan sahabatnya yang tidur kerana keletihan melarikan diri akibat dikejar orang kafir Quraisy. Akhirnya air mata Abu Bakar r.a menitik ke wajah Rasulullah saw telah membangunkan baginda. Inilah ikon sahabat sejati. Sanggup bekorban sampai mati.

Muhasabah.
Adakah saya si racun atau penawar?
Adakah saya ini si kaca atau permata?
Adakah saya menjemukan?
Adakah saya .....
Sejauh manakah saya sudah bekorban untuk sahabat saya?

Saya bermuhasabah bukan kerana saya takut tidak mendapat sahabat baik.
Saya bermuhasabah kerana saya mahu menjadi sahabat yang baik.... kerana saya berharap sangat supaya Allah menemukan saya dengan kerinduan hati saya...... Rasulullah saw dan para sahabat baginda...

Aku sanggup duhai Muhammad.......

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum terima kasih atas entry sis...sy bace...n banyak yang sangat menarik...saya minx maaf ade coretan yg akak tulis sedikit sebanyak sy ambil untuk dikongsi bersama rakan2 saye...harap sis tak kisah...thank you

    BalasPadam

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....