Ahad, 20 Januari 2008

Bila tidur tak lena.. Mandi tak basah.. makan tak kenyang.. mata terbayang-bayang..


Di peringkat umur menginjak dewasa, remaja mudah sangat tertarik dengan pasangan berlainan jenis. Inilah yang dikatakan cinta monyet atau puppy love. Remaja yang sudah mabuk asmara sanggup buat apa saja demi mempertahankan cinta mereka.

Mereka perlu tahu bahawa cinta yang tumbuh terhadap berlainan pasangan ini adalah cinta berdasarkan nafsu. Nafsu yang tertarik atau tergoda pada kepandaian, kecantikan, ketampanan seseorang.

Cinta seperti ini hendaklah dijauhi kerana ia boleh menjerumuskan kepada maksiat seperti bergaul bebas, zina dan lain-lain.
Firman Allah :
”Dan janganlah kamu menghampiri zina.” (Al Israk:32)
Sabda Nabi saw:
”Tidak pernah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita melainkan syaitan orang yang ketiga.” (Riwayat Bukhari Muslim)

Adik-adik perlu ingat fitnah akan berlaku bila sahaja sesuatu pasangan berkenalan atau bertemu. Percintaan melalui surat, telefon atau apa jua teknologi sekalipun tidak bertemu, kesemuanya mengarah kepada fitnah yang lebih besar jika tidak dikawal.

Jalan keluar dari cinta yang menipu:
1. mengawal pandangan mata

Dalam Islam, kita disuruh mengawal mata terhadap lelaki atau perempuan yang bukan muhram.kerana pandangan mata kalau tidak dikawal, syaitan akan mengambil peluang agar terjadi fitnah di antara lelaki dan perempuan.
Firman Allah Taala:
”Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menahan pandangannya dan menjaga kemaluan mereka; yang demikian adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan jangan mendedahkan perhiasan mereka.” (An Nur 30-31)

Rasulullah saw bersabda:
”Pandangan itu panah yang beracun dari panah-panah iblis. Oleh itu barangsiapa yang meninggalkan pandangan kerana takut dari seksa Allah serta iman, maka ia akan memperolehi kemanisan iman dalam hatinya.”

Nabi Isa as berkata : Takutlah kamu sekalian pada pandangan kerana sesungguhnya ia dapat menumbuhkan syahwat dalam hati dan cukup menimbulkan fitnah (godaan) kerana pandangan itu.

2. menjaga aurat dan adab ketika keluar rumah bagi wanita supaya tidak diganggu dan mudah dikenali sebagai wanita beriman.
Firman Allah Taala :
”Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anakmu dan juga wanita-wanita yang beriman agar mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu adalah sebaik-baik cara untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Maha Pengampun Dan Maha Penyayang.”
(al-ahzab : 59)
3. perkahwinan
ingin kepada pasangan yang berlawanan jenis adalah fitrah semulajadi manusia. Selaras dengan itu, ajaran Islam memberi jalan keluarnya melalui perkahwinan. Malah Islam sangat menggalakkan umatnya berkahwin.
Sabda Rasulullah saw :
”Barangsiapa yang ada kemudahan untuk berkahwin kemudian dia tidak berkahwin maka dia bukan dari golonganku.”
(Riwayat Tabhrani dan Baihaqi )

Sabda Rasulullah saw dalam hadis lain:
“Apabila seorang yang kamu berpuas hati tentang agamanya dan perangainya datang meminang (anak gadis) kamu maka terimalah lamaran itu. Seandainya kamu menolak, maka akan terjadi fitnah dan kerosakan besar di muka bumi.”

Adik-adik perlu bersungguh-sungguh menanamkan cinta pada Allah dalam diri. Itulah cinta fitrah (semulajadi) lagi suci dan letaknya cinta yang maha agung. Ingatlah sesiapa yang bersungguh-sungguh melupakan orang yang dicintainya kerana takutkan dosa sedangkan ingatan terhadap kecintaan itu tetap mengganggu sehingga akhir hayatnya, matinya dijanjikan mati syahid.
Sabda Rasulullah saw :
”Sesiapa yang asyik(jatuh cinta) kepada sesuatu lalu dia menyembunyikannya di dalam hatinya, kemudian dia mati maka matinya adalah mati syahid.”
(Riwayat Ibnu Assakir dan Dailami)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....