Khamis, 7 Jun 2012

Sentuhan Jiwa di Rumah Orang-Orang Tua


Perasaan bercampur baur sewaktu menatap, mengusap dan mencium kulit-kulit lembut yang kering dan berkedut itu. Raut wajah penghuni-penghuni Rumah Jagaan dan Rawatan Orang-Orang Tua Al-Ikhlas itu benar-benar membekas dalam jiwa saya. Tangan mereka menarik tangan saya supaya saya memegang tangan mereka. Apabila mereka bercakap, mereka mahu saya pandang mereka. Sesekali rasa lucu kerana mereka sudah nyanyuk dan mengulang cerita yang sama beberapa kali. Layan sahaja.... :)

"Rasa  macam nak menangis,"bisik teman saya yang menjadi pemandu perjalanan kami.

Sewaktu dalam perjalanan balik, saya bertanya kepada anak-anak yang mengikuti kami.
"Mahukah suatu hari nanti supaya emak ditinggalkan di sana?"

Mereka menjawab tidak.

"Jadi... Apa yang perlu kita sediakan supaya perkara itu tidak berlaku?"soal saya.

"Em.. Beramal soleh." jawab si abang.

Saya ketawa. "Itu amalan untuk diri sendiri yang hendak di bawa ke dalam kubur. Cikgu maksudkan apa persediaan kamu untuk pastikan emak kamu tidak dihantar ke sana?"

Mereka diam. Berfikir lama.

Akhirnya saya memberi jawapan.

"Kita perlukan beberapa persediaan.

Persediaan pertama adalah duit. Apabila tua, banyak duit yang diperlukan untuk membeli ubat, pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital.. Pada masa tua, orang sudah tidak larat bekerja bertungkus lumus seperti zaman muda. Jadi perlu ada simpanan duit. Sebab itulah anak-anak kena belajar bersungguh-sungguh, kemudian bekerja bersungguh-sungguh. Cari duit banyak-banyak. Kalau dengan menjual pisang goreng dapat menghasilkan duit yang banyak, jual lah!

Kedua adalah masa. Kita perlu sediakan masa yang beharga untuk orang tua kita. Apa gunanya kita bekerja siang dan malam sedangkan orang tua kita lansung tidak sempat dijenguk. Mereka kesunyian. Jika kita tiada pilihan maka carikan orang yang dapat memberikan masa untuk mereka. Memberikan masa yang beharga tidak sama dengan menjaga makan pakai dan mencuci berak. Memberikan masa yang berharga contohnya adalah bersembang dan bergurau senda bersama.

Ketiga adalah pasangan. Cari isteri yang boleh terima ibu kamu. Cari isteri yang sanggup jaga ibu kamu. Tanya pada bakal isteri kamu sanggupkah dia menjaga ibu kamu, menukar lampin ibu kamu dan menyuapkan makanan? Jangan sampai sudah kahwin nanti, isteri kamu suruh buang ibu kamu.

Keempat adalah menjadi anak yang soleh. Ibu bapa yang mempunyai anak yang soleh adalah ibu bapa yang paling beruntung dunia akhirat. Jadikan diri anak yang soleh supaya ibu bapa damai di dunia dan akhirat."

Si abang mengangguk faham. Wajahnya serius. Suasana dalam kereta sepi.Masing-masing masih terpengaruh dengan suasana suram rumah orang-orang tua tadi. Sungguh! Tempat itu suram.

"Bukan semua orang yang tinggal di rumah orang tua itu diabaikan anak-anak. Adakalanya mereka tidak berkahwin dan tiada waris. Ada juga yang ada anak-anak tetapi kesemuanya sibuk. Ada juga yang mahu tinggal di sana kerana mereka kesunyian. Di sana ada kawan-kawan. Kita sendiri tidak tahu bagaimana nasib kita apabila tua nanti... "

Kami diam seketika. Kami tersesat ke Putrajaya jadi sempatlah berpusing-pusing meninjau di sana.Suasana dalam kereta kembali ceria.


"Apabila kita tua, kita sudah lemah dan tidak mampu hendak bekerja berat. Kenapa Allah menjadikan begitu? Kerana Allah mahu kita fokus beribadah. Jadi, jika kita tidak sibuk beribadah, kita akan menjadi orang tua yang kesunyian, bersedih, sensitif dan banyak merungut. Jika mahu jadi orang tua yang sibuk beribadah, hendaklah bermula ketika muda. Mustahil kita boleh berubah dalam masa sehari. Jadi perlu bermula sekarang."

Balik itu, saya berazam mahu perbaiki diri. Mahu berubah. :'(
Ya Allah.. Perbaikilah dunia kami dan akhirat kami.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Assalamualaikum... :)

Tunjukkan aku kawan jalan mana arah kejayaan....