Khamis, 19 Januari 2012
Tika Dinihari
Alhamdulillah... Banyak nikmat Allah yang tidak dapat dihitung. Nikmat Iman. Nikmat Islam. Nikmat hati yang tenang! :)
Semoga hati ini ditetapkan Allah untuk kekal taat akan perintah-Mu.
Bulan Januari 2012 ini padat dengan tugasan yang di luar perancangan. Jika dahulu selalu keluar memandu ke hulu ke hilir dan tidak tahu duduk diam, jangan sangka sekarang saya sudah duduk diam di dalam rumah. Banyak juga tugasan yang hendak dibuat di rumah ini. Jumlah kelas tuisyen kini sudah masuk 37 kelas dan masih ada beberapa kelas dalam proses dan dijangka bermula pada Februari ini. Pening juga menguruskan aliran duit masuk dan keluar serta menyusun jadual dan silibus, membeli buku dan melayan pelanggan. Jika bekerja hanya untuk dunia, saya pasti sudah lama berputus asa. Letih! Tetapi apabila teringatkan akhirat masih ada untuk saya menikmati kesenangan maka terubatlah hati ini. Semoga setiap kali rasa letih, sakit dan apa juga rasa yang hadir menyinggah pada diri ini....semoga semuanya menjadi asbab diri ini untuk semakin hampir kepada-Nya... Semoga menjadi asbab Allah sayangkan diri ini.... Semoga menjadi asbab Allah merindukan diri ini....
Saya berpesan kepada pembantu saya "Apa-apa terjadi pada akak, teruskanlah usaha kita.. Akak tidak mahu anak-anak orang miskin dan yatim ini kehilangan tempat untuk berpaut. Selagi mana mereka sudi untuk belajar di sini, hargailah mereka... Kita tidak mahu ada yang ditinggalkan. Rezeki, Allah yang akan jaga."
Paling letih kerana menjaga kucing-kucing yang sakit. Ya Allah, memang benar-benar teruji kesabaran mencuci cirit birit mereka dan lain-lain penyakit. Namun mereka tidak berdosa. Mereka sakit.... Sudah dibawa ke klinik, sudah mendapat ubat dan suntikan... Semoga Allah memandang usaha ini. Hanya Allah yang tahu betapa menjaga makhluk-makhluk kecil ini amat menduga kesabaranku.
Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosaku dan dosa-dosa ibu bapaku....Berikanlah aku kekuatan ya Allah untuk terus melakukan yang terbaik kepada-Mu. Ampunkanlah segala kelemahanku.... Ikhlaskanlah hatiku.... Bersihkanlah hatiku... Tetapkanlah hatiku... Moga sentiasa taat akan perintah-Mu...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

saya kagum!
BalasPadam